Tuesday, April 26, 2011

Bicara tentang kebaikan...

Ambillah kebaikan dari orang yang mempunyai kebaikan dan tinggalkanlah keburukan yang ada pada orang yang mempunyai keburukan.

Latihlah diri kita untuk membalas dengan kebaikan kepada orang-orang yang telah berbuat keburukan kepada kita.

Belajarlah menahan diri dari selalu ingin melihat jasa dan kebaikan sendiri. Orang yang ikhlas itu bijak menyembunyikan kebaikannya sebagaimana dia menyembunyikan keburukannya.

Tidak ada sesuatu yang lebih baik daripada akal yang diperindah dengan ilmu, ilmu dengan kebenaran, kebenaran dengan kebaikan, dan kebaikan dengan taqwa.

Orang yang beriman itu mempunyai upaya untuk mengajak kepada kebaikan, mengajak kepada perkara-perkara yang akan mendekatkan kepada Allah dan melarang dari perbuatan yang tidak disukai Allah...

Friday, April 22, 2011

Mari beramal... Doa mengelakkan mudarat...

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut.

Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;


1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.


Keberuntungan beramal dengan doa ini:

Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.


Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.  

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Thursday, April 21, 2011

Nasihat ke arah kebaikan...

Daripada Abu Ruqaiyyah   Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu   adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk   Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan   untuk umat lslam seluruhnya.”
 
  Hadis riwayat al-lmam Muslim.
     
  .................................................................................
 
   
    Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40   yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah   digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal   pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga   digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa   Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita.
 
  Pengertian nasihat
   
  Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut   Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam   Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah   daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti   bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan   ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.
 
  Adab-adab memberi nasihat
 
    1. Meluruskan niat sebelum menasihati   seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati   saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin   memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang   terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin   diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan   kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat   ke jalan yang benar.
   
    2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.   Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang   lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati   seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang   sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak   orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang   dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai   akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini   menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang   dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.
   
    3. Bersih hati semasa menasihati.   Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara   yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat   teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan   kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan   salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut   sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku   seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan   sebaiknya.
 
  4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati   saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal   kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah   sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya   mereka begitu.
 
  5. Memberi waktu dan kesempatan kepada   saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang   dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka   untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang   pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada   Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan   jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin   ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.
 
  Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang   telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada   orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita   sudah melaksanakan amanah ini? Jangan   jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia   untuk dinasihati...

Friday, April 15, 2011

Dosa-dosa meninggalkan solat fardu...

Wahai sahabat pembaca Oh! Islam yang disayangi. Mari kita renung sama-sama. Mengapa masih ramai antara kita memandang enteng pada solat. Sedangkan jika mereka tahu betapa azabnya balasan meninggalkan satu waktu solat, pasti akan menangis menyesali kehidupan hari semalam.

Sahabat, sama-sama kita tanam satu kesedaran yang berpanjangan. Bayangkan kita kini berada di hadapan api neraka. Baru kita nak menyesal tetapi apakan daya, semuanya sudah terlambat. Dunia dah makin tua. Esok lusa kiamat akan tiba. Sempatkah kita? Renung-renungkan sahabat.

Bahana Meninggalkan Solat Fardu Lima Waktu
Subuh – Allah SWT akan mencampakkannya kedalam neraka Jahannam selama 60 tahun. Sahabat sekalian, 1 tahun di akhirat tidak sama dengan dunia. Jika 1 tahun di dunia kita sudah rasa agak lama, di akhirat 1 tahun bersamaan dengan 60,000 tahun di dunia. MasyaAllah. 7 keturunan kita pun belum lepas 1 tahun jika kita hidup di akhirat.

Zuhur – Dosa sama seperti membunuh 1000 orang muslim. Sedangkan membunuh seorang orang Islam pun kita akan dicampakkan ke neraka, bayangkan kita telah membunuh 1000 orang muslim. Betapa azabnya kita. Begitu mudah kita mencari dosa tersebut hanya dengan meninggalkan solat Zuhur yang mana jika dilakukan, 15 minit pun tak sampai.


Asar – Dosa sama seperti meruntuhkan Ka’abah. MasyaAllah, sanggupkah kita meruntuhkan kiblat umat Islam? Renungkan berapa kali sudah kita meninggalkan solat asar dengan sengaja? Dan renungkan juga berapa kali sudah kita meruntuhkan Ka’abah.

Maghrib – Dosa sama seperti berzina dengan ibubapa sendiri. Saya tak sanggup nak menyedarkan diri saya dengan lebih panjang akan dosa meninggalkan solat maghrib ini. Rasa amat bersalah dengan ibu saya sendiri.

Isyak – Allah SWT berseru kepada mereka “Hai orang yang meninggalkan solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah SWT.” Sahabat Oh! Islam sekalian, ketika anda membaca artikel ini anda masih menyedut udara untuk bernafas. Adakah udara itu diredhai Allah SWT? Jika Allah mengenakan charge RM10 setiap kali kita menyedut udara, sudah tentu baru ramai antara kita yang akan tersedar dari tidur.

Artikel ini adalah artikel berpesan-pesan pada diri saya yang hina ini. Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami. Kuatkanlah iman kami dan cekalkan hatiku untuk mencari jalan kebanaran yang Kau redhai. Amin ya Rabbal Alamin.

Sahabatku sekalian, bangunlah dari tidur. Sembahyanglah kamu sebelum kamu yang disembahyangkan.

###################

Jika anda mempunyai masa yang lebih untuk meneruskan bacaan, maka kami berharap dapatlah kita sama-sama membaca azab Allah kepada kita samaada kita sedar atau tidak.

********

Antara azab bagi mereka yang meninggalkan solat:

Dunia

1. Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.
2. Allah SWT mencabut nur orang-orang mukmin (soleh) daripada (wajah) nya.
3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.

Sakaratul Maut

1. Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
2. Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar.
3. (su’ul khatimah)
4. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.

Alam Barzakh

1. Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman) dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan.
2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari)
4. (Siksaan binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan)

Hari Qiamat

1. Hisab keatasnya menjadi sangat berat
2. Allah SWT tersangat murka kepadanya.
3. Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.

Nota : Saudara-saudaraku, ingatlah, jangan kita menganggap solat jemaah itu satu perkara kecil kerana ianya termasuk dalam sunat mu’akkad yang sangat dituntut – ada yang mengatakan ianya adalah fardhu kifayah.

Sumbangan: “Pak Syaikh” dari Kluang/Pasir Gudang Johor
Artikel oleh: Hamba Allah yang mengemudi perjalanan web Oh! Islam ini.

Sama-samalah kita.

Thursday, April 14, 2011

Suami yang baik...

Senyuman adalah sedekah dan dengan senyuman ia akan mengembirakan teman kerana senyuman itu menandakan kasih. Semua orang selalunya ingin dikasihi. Adalah perkara yang amat memilukan dan menyedihkan jika seseorang itu merasakan dirinya tidak dikasihi oleh seseorang. Senyuman adalah gerak di bibir yang datangnya dari hati. Jika senyuman diberi dengan ikhlas ia akan mendatangkan kesan yang besar.
.
Apabila suami kembali ke rumah menemui isteri, berilah salam dan senyuman. Anggaplah isteri sebagai teman yang sudah lama tidak berjumpa. Dengan memberi senyuman ia akan mengembirakan hati isteri. Isteri di rumah sibuk menguruskan anak-anak, membasuh pinggan mangkuk dan kain baju. Temannya hanyalah kerja yang tidak mempunyai perasaan seperti insan dan tidak dapat menghargai letih dan penatnya. Kepenatan ini akan hilang jika bertemu kembali dengan suaminya dan suaminya pula mengukir senyuman sebagai tanda gembiranya terhadap isteri dan kerjanya. Walaupun kerja-kerja rumah tidak dapat dilaksanakan dengan baik, janganlah bermasam muka. Anggaplah kerja rumah itu kerja si suami dan isteri melakukannya hanyalah sebagai ihsannya.
.
Si suami janganlah kembali ke rumah dengan bermasam muka dan perasaan marah. Ukirlah senyuman walaupun dibuat secara paksa. Janganlah dibawa masalah di luar seperti masalah kerja, masalah rakan atau pejabat ke rumah. Janganlah lepaskan kemarahan itu kepada isteri atau anak-anak. Adalah menjadi satu kezaliman disebabkan kemarahan kita terhadap orang lain, isteri dan anak-anak yang lemah menjadi sasaran kemarahan kita.
.
Isteri adalah seorang wanita. Perwatakannya adalah lembut. Nabi SAW bersabda: "Yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya". (HR Baihaqi). Di antara 3 perkara yang Nabi SAW sukai ialah wanita. Maksudnya supaya wanita disayangi, dilayani dengan lembut kerana sesungguhnya wanita yang solehah itu adalah harta dunia yang paling baik. Oleh kerana wanita kelakuannya lembut, hatinya tidak akan dapat dipikat dengan kekerasan. Kelembutan wanita menyebabkan ia mudah tertawan gerak geri dan perkataan yang lembut. Kekerasan akan membuatkan wanita menjadi lebih keras, menimbulkan kebencian dihatinya dan melahirkan kederhakaan kepada suaminya.
.
Tarbiah untuk wanita terletak di tangan suami. Suamilah yang bertanggungjawab membentuk akhlak isteri. Sekiranya isteri mendapat tarbiah yang baik, dia akan membantu suaminya menuju ke syurga. Jika wanita bertabiat buruk, ia akan menjadi pembawa suaminya ke neraka. Kasih sayang terhadap isteri bukan bermakna membiarkan isterinya melakukan perkara yang tidak baik. Isteri perlu diberi nasihat. Apabila suami dapat menawan hati isteri, nasihat suami akan diterimanya. Jika kita berkeras dengannya, rasa benci akan datang dihatinya. Malah, nasihat yang baik sekalipun tidak akan dipedulikannya. Nabi SAW bersabda: "Wanita dicipta dari tulang rusuk dan yang paling bengkok di tulang rusuk ialah bahagian atasnya. Jika kamu cuba betulkan ia, nescaya akan patah dan jika kamu biarkan, maka berterusan ia dalam keadaan bengkok". (HR Bukhari dan Muslim)
.
Kekerasan tidak perlu dalam tarbiah. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang dan menasihati dengan cara yang lemah lembut dan berulang-ulang. Senyuman adalah amalan yang mahal. Ia adalan sedekah dan tidak memberatkan pemberinya. Suami tidak perlu berbelanja untuk melakukannya dan kesannya amat besar. Lemparkanlah senyuman setiap kali memandang isterimu terutama apabila kembali ke rumah. Walaupun kamu tidak mahu tersenyum disebabkan banyak masalah, paksalah diri untuk senyum. Berpura-pura senyum pada isteri walaupun hati tidak mahu adalah lebih baik daripada bermasam muka dan menunjukkan perasaan hati.
.
Seringkali suami melepaskan perasaan kepada isteri. Suami malu melepaskannya kepada orang lain kerana berpura-pura menjadi orang yang baik. Sekiranya kita boleh berpura-pura dengan orang lain untuk menunjukkan diri kita baik dan tidak mudah marah, kenapa kita tidak boleh berpura-pura kepada isteri, teman yang sentiasa bersama tatkala senang dan susah. Suami harus menyimpan masalah kepada diri sendiri (yang mengakibatkan timbul kemarahan dalam hati) dan tidak melepaskannya kepada orang lain apatah lagi kepada isteri. Ramai orang yang kelihatan begitu baik di luar tetapi menjadi pemarah ketika di rumah. Ini salah tempatnya.
.
Akibat keresahan hati, isteri menjadi mangsa. Isteri dimarahi dan dipukul kerana tersalah sedikit, akhirnya perhubungan menjadi renggang. Apabila hubungan menjadi renggang, anak-anak menjadi mangsa pertengkaran. Akibatnya, anak tidak akan faham apa itu erti kasih sayang. Anak-anak akan membesar dalam rumahtangga yang bergoncang. Bagaimana perasaan hati diluahkan? Menyimpan masalah di hati tanpa memberitahu kepada sesiapa boleh menyebabkan kekusutan fikiran dan akhirnya mengubah tingkah laku dan boleh menyebabkan penyakit.
.
Oleh yang demikian agama Islam mengajar kita agar menghadapi masalah kita dengan mendirikan solat dan selepas solat kita mengadu kepada Allah SWT. Allah SWT memerintahkan kita supaya apabila tersua dengan kesusahan, agar sabar dan solat. Solat di tengah malam adalah waktu yang amat sesuai untuk mengadu kepada Allah SWT. Apabila kita berbuat demikian, keresahan akan hilang, bantuan dan rahmat akan mulai datang. Apabila keresahan telah hilang, kita boleh kembali mengukir senyuman di siang hari. Inilah cara hidup orang yang bertaqwa. Senyumlah selalu dan berilah senyuman pada isterimu...

114 ayat cinta dari Allah swt...

Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian … Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah,  di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi.  Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat… tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.

 Entah apa yang diburu oleh manusia ini… yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.

Nukilan Gentarasa...

Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpanagan di lantai… namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya…

Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.

Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita  yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu… kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana. 

Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan… sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk ‘mengembalikan’ dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk ‘dirosakkan’ oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!    

 

Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini… Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.

Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud: “Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.”

“Jika” hanya “jika”. “Jika” akan kekal sebagai “jika”. Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!

Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini… Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!

 

Mukadimah Penentu Natijah

Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai “rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang”.

Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.

Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.

Jika belum, berusahalah, berdoalah… agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.     

 

114 Ayat Cinta

Tidak kira di tahap manapun rumah tangga kita; di permulaan, pertengahan atau pengakhiran, marilah bermuhasabah. Apakah rumah tangga kita benar-benar diasaskan oleh cinta kelas pertama atau masih dibelenggu oleh cinta kelas kedua? Jika kelas pertama, syukurlah. Insya-Allah cinta itu akan kekal selama-lamanya. Bagaimana kita boleh memastikan bahawa rumah tangga kita benar-benar diasaskan kepada cinta ini?

Jawapannya mudah. Cuba nilai, apakah seluruh isi keluarga lalai atau taatkan perintah Allah? Bagaimana dengan solat kita dan anak-anak semua? Bagaimana dengan al-Quran? Sudahkah kedengaran suara kita (ayah ibu) dan anak-anak membaca al-Quran? Jangan jadikan rumah kita kuburan kerana Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa rumah yang penghuninya tidak membaca al-Quran umpama sebuah kubur!

Padahal semasa kita mula membinanya dahulu kita katakan membina masjid. Jika suami atau isteri payah hendak diajak membaca al-Quran, kenapa kita tidak memulakannya dahulu? Ironinya, kita kekadang lebih banyak menatap surat-surat lama pasangan kita semasa hangat bercinta dahulu, konon untuk memperbaharui rasa cinta. Malangnya, ramai yang mengalir air mata, sedih, sayu, pilu apabila mengenangkan kata-kata mesra dan rindu dahulu kini sudah tiada.

Mengapa menanti sesuatu yang tidak tiba? Mengapa merajuk pada yang tidak kasih? Tinggalkan dahulu surat cinta yang lama, carilah semula 114 surat cinta daripada Allah (al-Quran). Siapakah yang dapat menandingi kemesraan, kasih sayang dan cinta Allah buat hamba-Nya yang terpapar dalam 114 surah al-Quran? Bacalah ayat Manzil, al-Ma’thurat, Yasin, al-Mulk atau apa-apa sahaja. Sama ada yang diambil secara bersanad daripada guru-guru yang thiqah ilmunya ataupun sekadar diambil daripada kitab-kitab atau buku-buku yang dipercayai kesahihannya.

Jika tidak mampu baca banyak, bacalah sekadar satu muka surat atau paling lekeh sekadar lima ayat. Tetapi istiqamahkan amalan ini. Barulah syaitan akan kecut untuk menggoda hati ahli keluarga kita supaya terlibat maksiat. Atau mengacah-acah kita dengan prasangka sehingga sering berbalah walaupun dalam soal-soal yang kecil. Bayangkan hanya kerana hendak masak apa hari ini, berebut saluran televisyen atau hanya tersilap istilah atau cakap, sudah bergaduh sampai tinggi-tinggi suara atau pukul-memukul. Ini angkara siapa? Tentu syaitan.

 

Bentuk Cinta Kelas Pertama

Mengapa syaitan begitu berkeliaran dalam rumah kita? Kerana rumah kita jadi kuburan, bukan jadi masjid. Banyak perkara-perkara mungkar dalam rumah kita yang menyebabkan syaitan suka bertandang. Tapi ingat, syaitan bukan dihalau dengan membaca al-Quran sekali-sekala seperti yang kita lihat “Pak Ustaz” halau hantu dalam drama mistik dan tahyul. Tetapi syaitan dihalau dengan bacaan al-Quran berserta niat zikrullah, hendak diamalkan kehendaknya dan ditinggalkan larangannya.  

Jika sekali-sekala terjadi pertembungan antara kehendak Allah dan kehendak isteri atau suami serta anak-anak, yang mana satu didahulukan? Jika didahulukan kehendak mereka, sah itu petanda cinta telah tersasar. Hakikatnya, inilah yang banyak berlaku dalam alam berumah tangga kini. Dan inilah punca mengapa ramai suami isteri berpisah sekalipun mereka saling mencintai. Berpisah bukan kerana mereka tidak cinta, tetapi cinta terpisah kerana mereka memisahkan cinta Allah.

Cinta yang meminggirkan cinta Allah adalah rendah mutunya dan tidak tahan uji.  Cinta kelas kedua itu ialah cinta kelas bawahan. Apabila wajah kendur, cinta luntur. Apabila kemudaan hilang, sayang terus melayang. Sebaliknya cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku kerana tapak cinta itu di hati, bukan di mata. Cinta di mata boleh dipisahkan oleh jarak dan usia tetapi cinta di hati tidak ada sesiapa yang mampu menjarakkannya, apatah lagi memisahkannya!

Cinta yang dibina atas dasar cinta Allah akan menjadikan perkahwinan sebagai taman atau kebun percintaan. Mungkin sekali-sekala bergolak juga, tetapi atas dasar ibadah dan tanggungjawab, cinta dapat dibina semula… terbentur tetapi tidak patah. Genting tetapi tidak putus. Justeru bajailah cinta itu selalu dengan solat, zikir, membaca al-Quran dan sedekah.

Marilah kita saling berpesan demi kebenaran dan kesabaran… jangan membina cinta di dalam kuburan!

Tuesday, April 12, 2011

Penghalang Doa...

DOA merupakan senjata bagi orang Islam. Ini sebenarnya adalah hadiah Allah untuk kita. Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Pemurah. Ada kalanya kita rasa kita telah berkali-kali berdoa tapi Allah belum memperkenankannya. Selain itu adalah ujian dari Allah ingin menguji keikhlasan dan keimanan kita; kita juga perlu mengkaji di mana silapnya kita. Sebenarnya banyak perkara yang boleh menjadi hijab atau penghalang kepada doa-doa kita itu.

Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar yang pernah kita lakukan dan salah satu cara untuk mengatasinya dengan bertaubat nasuha yakni taubat yang sungguh-sungguh.
Di sini dibentangkan lapan belas perkara yang menjadi hijab atau penghalang doa:

1. Orang yang membunuh orang lain tanpa tujuan.

2. Orang yang menaburkan cerita yang belum tentu sahih

3. Orang yang melakukan pekerjaan yang serupa binatang.

4. Orang yang mengekalkan minum arak atau benda-benda lain yang boleh memabukkan.
ALLAH telah berfirman: ”Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu dan menghalangi kamu dari mengingati ALLAH dan sembahyang, maka berhentilah kamu dari mengerjakan pekerjaan itu. ” AI Maidah: 91. Keterangan di atas sesuai dengan Hadis Rasulullah SA W yang bermaksud ’Semua minuman yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram. ” Riwayat Muslim

5. Orang yang mengekalkan zina, iaitu dosa besar yang tidak akan diampunkan selama-lamanya.

6. Orang yang menderhakai ibubapanya atau salah seorang daripadanya. ALLAH telah berfirman; ”Dan Tuhanmu telah mnnerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dari-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika seseorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah tua jangan kamu keluarkan perkataan kasar terhadap keduanya dan hendaklah kamu ucapkan perkataan yang mulia (lemah-lembut).Rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepadanya dan hendaklah engkau katakan ”Wahai Tuhan kasihilah kedua ibubapa kami dan berilah Rahmat-Mu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar.....Untuk mengatasinya bertaubatlah dengan taubat nasuha; taubat yang sungguh-sungguh kepada keduanya, sebagaimana mereka mendidik kami di waktu kecil.”Al Israk: 23-24

7. Orang yang mengerjakan suatu pekerjaan yang menyalahi syariat seperti berSIHIR.

8. Ahli nujum yang mengkhabarkan nasib orang lain sedangkan kehidupan kita dari alam roh hingga ke akhir hayat telahpun ALLAH tetapkan sejak azali lagi.

9. Orang yang hasad dengki sesama umat Islam. Dia suka orang lain ALLAH timpakan bala malah mencemburui seandainya orang lain yang dikurniakan nikmat Tuhan.

10. Orang yang suka mengadu domba, memukul canang kepada orang lainsupaya timbul pecah-belah antara kedua belah pihak. Kadangkala mengakibatkan kedua-dua pihak itu tidak bertegur sapa selama lebih dari tiga hari tanpa keuzuran syarie.

11. Orang yang suka mengumpat hal orang lain terutama terhadap orang-orang alim yang cinta dengan ALLAH

12. Orang yang mengambil cukai dari harta manusia tanpa redha mereka. Inilah perkara yang paling ditakutikerana ketika di dalamkubur lagi akan ditimpakan azab yang pedih.

13. Orang yang menjual barang dengan cara yang haram, mengangkat jual beli dengan sumpah yang dusta, contohnya menaikkan harga barang-barang dua tiga kali gandanya dari harga asal. Menipu dalam sukatan dan timbangan dan memakan harta riba.

14. Orang yang membenci para sahabat Rasulullah SAW.

15. Orang yang menunjuk-nunjuk diri dengan gayanya yang lemah-longlai seperti mayang di depan orang lain supaya mereka merasa kagum dengan kecantikkannya.

16. Orang yang bermain catur dan judi.

17. Orang yang bermain gendang yang kecil di tengahnya, luas di kedua tepinya tetapi tepi yang ada kulit itu lebih luas daripada yang tiada berkulit. Kalau di zaman sekarang ini kompang dan gendang yang dibubuh lingkaran rotan di dalamnya supaya terdengar bunyi gentanya yang mengasyikkan.

18. Orang yang bermain rebab, biola dan seruling (serunai). Oleh itu sebagai nasihat kepada kita bersama, jika kedapatan perkara-perkara yang dibentangkan itu pada diri kita, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Agar kita mendapat falah (kemenangan) di Akhirat sebelum datangnya maut. Tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh melalaikan kita dari mengingati ALLAH juga perkara-perkara yang menjauhkan diri kita dari-Nya. Semuga ALLAH SWT menggantikan dengan sebesar-besar kurnia dan RahmatNya sebagai penutup segala perbuatan jahat yang lampau. Allah telah berfirman; ”Sesungguhnya segala amal yang baik menghapuskan akan segala perbuatan yang jahat. ”

Doa: Ampunkan kami wahai Tuhan

Ampunkan dosa kami Tuhan!
Kami selalu membuat dosa
Maafkan kami Tuhan Agar selamat kami dari neraka
Anugerahkan kami taubat Tuhan
Engkau adalah penerima taubat
Kami tidak mampu masuk nerakaMu
Kerana azabnya gerun dan dasyat tidak terperi
Dengan rahmatMu, ampunkanlah kami
Atau dengan kemaafanMu ampunkanlah kami
Kalau Engkau azab kami Kamikan hambaMu jua, Tuhan
Engkau ampunkan kami, kebesaranMu tidak jejas
Engkau ampunkan kami, keagunganMu tetap tidak tergugat
Kerana tiada siapa yang boleh menggugat
Kerana siapa itu adalah ciptaanMu
Kami senantiasa mengharap, kami senantiasa meminta
Kami tidak akan putus asa denganMu selama-lamanya
Kami tidak jemu-jemu meminta
Hinggalah dengan rahmatMu
Dosa kami Engkau ampunkan


DOA BERSIH DARI DOSA

Ya Allah, Tuhan yang menjadikan hambaMu ini
HambaMu yang dhaif lagi lemahYang nafsu selalu menggoda
Syaitan sentiasa memperdaya
Bagaimanalah aku boleh bersih dari dosa
Bagaimanalah aku boleh lari dari bersalahYa Allah,
aku memohon dengan rahmatMu
Aku meminta dengan kasih sayangMu
Berilah aku kekuatan menjaga diri
Dari godaan nafsu dan tipu daya syaitan
Kalau aku membuat dosa dan kesalahan
Ingatkanlah aku untuk bertaubat
Taubatku itu Engkau terimalah
Begitulah setiap kali aku membuat dosa
Engkau ingatkan lagi untuk bertaubat
Seterusnya Engkau terimalah taubatku lagi
Kerana orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa
Moga-moga waktu aku kembali kepadaMu
Bersihlah aku daripada dosa-dosa
KemurkaanMu pun sudah tiada lagi
Selamatlah aku daripada neraka
Itulah yang aku harapkan dariMu Tuhan
Terimalah permintaanku ini
Ya Rahim ya Rahman.

DOA ILMU YANG BERMANAFAAT

Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak diamalkan
Aku berlindung denganMu daripada ilmu untuk kemegahan Tuhan,
ilmu itu adalah cahaya penyuluh kehidupan
Jangan pula kehidupan orang tersuluh,
kehidupanku kegelapanTuhan,
aku memohon kepadaMu janganlah ilmu itu menjadi beban
Di akhirat kelak menjadi hujjah dan saksi mengapa aku tidak amalkan
Ya Allah, aku memohon kepadaMu bertambah amalku
Jangan sampai usahaku orang lain selamat, aku tidak Ya Allah,
aku berlindung denganMu daripada ilmu untuk mujadalah
Bukan membantuku untuk beribadah dan bertaqwa
Tuhan, aku berlindung denganMu jangan sampai ilmuku melaknatku semula
Kerana bermegah-megah dan tidak amalkan
Jadikanlah aku bertambah-tambah ilmu bertambah dekat dengan Tuhan
Bertambah ilmu bertambah ibadah dan amalan
Tuhan, jadikanlah ilmuku boleh memimpin diri dan orang lain
Boleh menyuluh hatiku dan menyuluh hati orang
Seterusnya jadikanlah ilmu itu sentiasa memberi manafaat dan syafaat

DOA : PELIHARA IBADAH DAN KEBAIKAN

Tuhan Janganlah ibadahku merosakkan aku
Begitu juga janganlah kebaikan aku durhaka dengan MuYa Allah,
jadikanlah kekuranganku menyelamatkan aku
Kelemahanku aku merendah diri dengan Mu
Dan itulah yang menjadi Engkau cintakan aku
Ya Allah, jadikan seluruh kebaikan untuk keredhaanMu
Bukan hendakkan syurga Mu
Jadikanlah setiap amal kebajikan yang aku buat aku sedih dengan kekurangannya
Janganlah kebaikan itu menjadikan aku senang dan tenang dan hilang takutku pada Mu
Aku berlindung dengan Engkau, ibadahku menghijab di antara Engkau dan aku
Ia jadi bala bagiku tanpa aku sedari dan tanpa aku tahu
Tuhan, janganlah dengan ibadah dan kebaikan aku
Aku jadi muflis ketika bertemu Mu
Ya Allah janganlah kepujian dan cercaan orang padaku, aku jadi berdosa
Tapi jadikanlah kedua-dua pahala bagiku bukan jadi bala kepadaku
Tuhan Engkau rasakanlah kepadaku setiap kali berbuat baik aku berbuat dosa
Agar aku tidak bangga lagi dengan kebaikan aku
Bahkan aku lupakan sahaja kebaikan itu
seolah-olah aku tidak pernah berbuat kebaikan itu
Tuhan selamatkan aku daripada membuat dosa yang memang berdosa
Juga janganlah kebaikan aku juga jadi dosa dan durhaka
Ya Allah, itulah hal-hal yang amat kami hajatkan
Moga-moga sebelum tangan yang kami tadah ini disapukan ke muka dan
jatuh kembali limpahkanlah cahaya guru mursyid kami ke tapak-tapak tangan kami
untuk kami sapukan ke wajah dan akan meresap ke hati
supaya kami mampu menjejaki rohnya
untuk benar-benar merasa hamba dan menyembahMu
Akhirnya perkenanlah ya Allah, amin

DOA MUNAJAT: REZEKIKAN RAHMATMU

Tuhan! Rezekikan aku rahmat-Mu selalu
Di mana sahaja bumimu aku pijak mendapat keredhaan-Mu
Ke mana sahaja aku pergi, mengutip pahala-Mu
Di waktu bila aku bersalah, Engkau ingatkan aku
Aku pun memohon ampun, Engkau terima selalu
Tuhan aku adalah hamba-Mu
Jangan Engkau rungkai rasa kehambaan dari jiwaku
Engkau sematkanlah di dadaku
Agar aku bawa ke mana mana
Itulah bintang kehormatan-Mu yang Engkau anugerahkan padaku
Alangkah indahnya aku merasa diri ini hamba
Sungguh bahagia bintang kehambaan tersemat di dada
Itulah temanku bawa menemui-Mu Ya'Allah
Engkau adalah Tuhanku yang Maha Pengampun
Aku adalah hamba-Mu, pohon ampun Alangkah bahagia aku menjadi hamba-Mu
Alangkah mulianya aku, Engkau menjadi Tuhanku
Berilah aku rezeki yang halal di mana aku berada
Berilah aku kawan yang setia di bumi mana aku tinggal
Janganlah tinggalkan aku keseorangan tanpa-Mu
Perhatikanlah aku di mana-mana .
Pimpinlah aku di mana berada Aku adalah hamba-Mu
Janganlah Engkau tarik rasa kehambaan dari jiwaku
Kerana itulah kebahagiaan yang menjadi keredhaan-Mu