Saturday, August 20, 2011

Bermalam Di Katil Seorang Lelaki
Kisah berlaku waktu satu rombongan guru pelatih membuat rombongan ke tempat bersejarah. Bila sampai ke tempat yang dituju para guru pelatih mendapati tempat tersebut merupakan satu yang tidak pernah dikunjung oleh sesiapa…lengang, sepi!

Maka guru pelatih bermula turun untuk melihat kesan sejarah yang ada di tempat tersebut. Pada permulaan, mereka berkumpul bersama melihat kesan sejarah yang ada. Lebih kurang sejam selepas itu mereka berpecah menuju ke tempat sejarah yang mereka sukai.

Nak jadi cerita, seorang guru pelatih perempuan yang begitu tekun mencatit dan mengarang maklumat yang ada pada kesan sejarah tersebut, tanpa disedar,dah tertinggal.

Yang trainer pulak ingat semua cikgu-cikgu dah ada dalam bas, so mereka bertolak untuk balik.
Cikgu pelatih yang tertinggal tu mula gabra…menjerit sekuat hati, cemas giler panggil kawan-kawan dia dan pelatih yang lain. Tapi hampa.
So dia tekad berjalan nak keluar dari tempat berkenaan menuju ke kampung berdekatan. Sejam berjalan tetapi masih tidak menjumpai sesiapa. Startlah letih dan menangis panggil mak ayah.

Pusing pusing nampak satu pondok kecik berdekatan dengan tempat tu. so dia pegi ketuk pintu. Keluar seorang pemuda anggaran umur linkungan lewat 20an dan bertanya: siapa kamu? Jawablah cikgu tadi yang dia tertinggal bas rombongan, dan tak tahu nak pulang.

Berkatalah lelaki tadi bahawa tempat yang ingin ditujunya berletak di selatan dan tempat mereka berada di utara, dan tempat tu memang tak didiami sesiapa. Maka menangislah cikgu tadi bagai orang hilang akal…
Disebabkan kesian, lelaki tu menyuruh cikgu tadi bermalam dipondok dia je sementara tunggu subuh untuk di hantar pulang.
Cikgu tu disuruh tidur atas katil lelaki tersebut manakala lelaki itu tidur atas lantai berhamparkan kain je dan ambil sehelai kain lain digantung sebagai pengadang tempat tidur antara dia dan cikgu tu.

Lelaki tadi duduk dipenjuru pondok dan membaca buku. Yang cikgu tu tutup seluruh badan dia ngan kain gebar menahan menangis dek takut dan tak henti matanya mengawasi lelaki misteri tu.
Tiba-tiba lelaki tu tutup buku dan pergi kat lilin yang menyala dan membakar jarinya satu persatu.

Cikgu tadi apalagi, bertambah kecut perut takut kerana berfikir bahawa lelaki tersebut mengamalkan ilmu songsang.. mengeletar giler maut… Maka kedua-duanya tidak tidur sehingga pagi…

Bila menjelang pagi lelaki tersebut menghantar cikgu tadi ketempat asalnya.
Bila dah sampai rumah, cikgu tadi pun menceritakan apa yang terjadi kat mak bapak dia. Bapak cikgu tu dengan seribu satu persoalan mengesyaki sesuatu berlaku, sebab tengok anak dia nampak sakit, pucat lesi dan takut amatlah sangat.
Si bapa pun pergi ke tempat yang dimaksudkan anaknya tu. Menyamar sebagai pemburu yang tersesat dan bertanya tempat tuju. Dalam hati si bapa tadi hairan tengok jari jari tangan lelaki tadi berbalut dan bertanya kenapa…

So lelaki tu pun cerita bahawa dua malam lepas datang seorang perempuan cantik elok paras rupa untuk tumpang bermalam dipondok beliau. Dan sudah tentu pada ketika itu syaitan iblis sudah berada bersama mereka. Disebabkan takut terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku, beliau membakar jarinya satu persatu supaya dapat menghindarkan diri dari berfikir memperkosa perempuan tersebut.

Mendengar penerangan lelaki tersebut si bapa mempelawa lelaki berbalut jari itu datang kerumahnya dan berhajat mengahwinkan anaknya kepada lelaki tersebut.., tanpa pengetahuan lelaki tu yang bahawasanya perempuan yang akan dikahwininya adalah perempuan yang menumpang tidur di katil nya 2 malam yang sudah…

MORAL CERITA :

Apabila kita nak lakukan dosa, cubalah kita letakkan tangan kita di atas api. Jika kita mampu menahan kepedihan api tanpa rasa sakit, lakukan dosa tersebut TETAPI jika kita tak mampu.
Ingatlah bahawasanya api di dunia ini telah di hilangkan bisa neraka selama beribu2 tahun baru diletak di dunia ni, dan cuba kita bayang dan rasakan kepedihan api sebenarnya iaitu Api Neraka..

Thursday, August 18, 2011

LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT... Oleh gentarasa

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.

 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.

Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?  Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini  melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.

Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan  Bayangkan, terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.

Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.

Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)

Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.

Takuitilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isterti, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya,   kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.

Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:

“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)

Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?

Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.

Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.

Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.

Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.

‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:

Kaum Nabi Nuh.
Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
Firaun dan pengikutnya.
Kaum Nabi Luth.
Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.

Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).

Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?

Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)

Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24

 

Ibnu Khatir  menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”

Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran.  Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.

Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

Puasa itu Resolusi Hati... oleh gentarasa

Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada ‘gencatan senjata’ ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai ‘senjata’ tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, ‘mentor’ nafsu yang utama yakni syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.

Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik.      Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah  manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.

Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini.

Justeru, usaha untuk melahirkan diri, keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia yang lebih baik mestilah dimulakan dengan membersihkan hati manusia dan langkah itu boleh dioptimumkan dalam bulan puasa. Kejayaan Rasulullah s.a.w. mengubah masyarakat jahiliah adalah kerana Baginda berjaya mengubah hati manusia. Inilah yang dikatakan oleh Profesor Dr. Hamka, “Nabi Muhammad berjaya melakukan satu revolusi jiwa yang hebat dalam sejarah manusia.”

Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah sikap manusia kerana Baginda berjaya melakukan revolusi hati. Walaupun umat Arab Jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengubat “penyakit-penyakit” itu pada akibat-akibatnya tetapi terus kepada puncanya – yakni hati. Baginda yakin kegawatan-kegawatan yang bersifat lahiriah itu ialah hasil daripada “sakitnya” hati.

Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani persoalan hati manusia dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat al-Quran peringkat itu pendek-pendek dan kebanyakannya sarat dengan persoalan iman. Semuanya berkisar pada kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib. Ayat-ayat itu menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah juga menggambarkan keadaan dan balasan nikmat di syurga dan seksa di neraka.

Iman di hati ialah kunci utama ke arah perubahan sikap. Ia secara automatik akan mengubah manusia secara bertahap-tahap. Transformasi, reformasi, evolusi, revolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan, mesti berlandaskan soal hati. Apabila soal hati ditangani dengan iman, ia memberi satu kekuatan yang luar biasa dalam diri manusia yang biasa. Tauhid ialah sumber kekuatan untuk melakukan perubahan kerana ia mengungkai semua halangan dan godaan luaran yang mengganggu usaha ke arah perubahan.

Soal hati, bukan hanya penting pada peringkat awal perubahan tetapi ia perlu terus dijaga sepanjang usaha manusia untuk menjadi individu yang baik dan mampu memberi kebaikan.

Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.” (Riwayat Muslim)

Maknanya, jika niat baik, maka amalan pun akan baik. Sebaliknya jika niat jahat, amalan yang baik sekalipun akan bertukar menjadi jahat. Bagaimana natijah atau kesan sesuatu amalan sering bergantung pada mukadimahnya. Jika mukadimah amalan itu ialah niat yang baik, maka amalan itu akan memberi kesan yang baik.

Kualiti amalan bergantung pada kualiti hati pelakunya. Setiap kali kita melakukan satu perbuatan, maka hati akan menentukan itu amalan baik atau sebaliknya. Berderma misalnya, ialah amalan yang baik tetapi sekiranya dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, ia bertukar menjadi riyak dan hukumnya berdosa.

Begitu juga solat. Pada zahirnya ia memang amalan yang mulia. Namun sekiranya hati orang yang melakukan solat kerana ingin “membesarkan” dirinya bukan membesarkan Ilahi, maka solat itu bukan lagi amalan yang mulia.

Maka berhati-hatilah menjaga hati kerana amalan yang sebesar gunung sekalipun tidak akan bernilai walau sedebu pun, sekiranya diamalkan tanpa ikhlas.  Hati bukan sahaja menentukan kualiti amalan seseorang, bahkan nilai orang itu secara keseluruhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)

Pernah diberitakan bagaimana seorang yang rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa sunat pada siang harinya, tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan dia ialah ahli neraka, kerana lidahnya yang suka mencela jirannya. Mengapakah lidah suka mencela? Jawabnya kerana hatinya masih kotor, walaupun ibadahnya banyak.

Dalam konteks yang sama, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa tidak akan lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus hati seseorang, sehingga lurus lidahnya.

Sebaliknya, pernah Rasulullah s.a.w. memberitakan bagaimana seorang lelaki menjadi ahli syurga walaupun amalannya hanya “biasa-biasa” sahaja dibandingkan dengan para sahabatnya yang lain. Setelah diselidiki oleh Abdullah bin Umar, beliau dapati kelebihan lelaki ahli syurga yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah dia tidak pernah menaruh rasa hasad dengki kepada orang lain. Sekali lagi ini membuktikan bahawa kualiti hati menjadi penanda aras kelayakan seseorang manusia untuk memasuki syurga.

Firman Allah yang bermaksud: “(Hari kiamat ialah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekalian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera.” (Surah al-Syu’ara 26: 88-89)

Semua amal ibadah adalah untuk mem bersihkan hati. Manakala dosa mengotori hati. Hakikatnya, hidup ialah satu perjalanan menuju Allah untuk mem persembahkan hati yang bersih kepada-Nya. Keuntungan atau kerugian hidup manusia ditentukan oleh usaha yang membawa kebersihan hati atau sebaliknya. Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang mem bersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)

Hati yang bersih penuh keimanan, ke takwaan dan sifat-sifat mahmudah. Hati ini mempunyai kuasa yang cukup hebat dan luar biasa. Hati umpama magnet. Ia mempunyai kuasa “menarik” sesuatu yang di luar diri kita. Apa yang bersemi di hati, menentukan apa yang diterima sebagai pantulannya. Hati yang baik di dalam diri menarik kebaikan dari luar diri.

Sebab itu Islam sangat menekankan betapa pentingnya kita bersangka baik kerana sangka baik itu menghasilkan kebaikan. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita agar selalu bersangka baik kepada Allah untuk mendapat kebaikan daripada-Nya. Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku (Allah) mengikut sangka hamba-hamba-Ku.” (Riwayat Muslim)

Sekalipun ketika berdosa dan menyesali nya, namun kita diajar agar tidak bersangka buruk dan putus asa daripada rahmat serta pengampunan-Nya. Kata Syeikh Ibn Ata’illah:“Jangan sampai terasa bagimu kebesaran satu dosa itu, hingga merintangimu daripada bersangka baik kepada Allah Taala, kerana siapa yang benar-benar mengenal Allah akan merasa kecil dosanya apabila dibandingkan dengan keluasan rahmat-Nya.”   

Jadi, sematkanlah rasa bersangka baik dalam hati kepada Allah, kerana itu akan “menarik” rezeki, rahmat dan pengampunan-Nya kepada kita.

Larangan berprasangka bukan hanya kepada Allah tetapi jua kepada sesama manusia.  Jauhi sifat prasangka terhadap orang lain, kerana itu akan menarik “kejahatan” mereka sebagai balasannya. Firman Allah:“Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah sebahagian daripada dosa.” (Surah al-Hujurat 49: 12)

Untuk mendapat kebaikan, Islam mendidik kita agar memulakan sesuatu interaksi dan komunikasi sesama manusia dengan kebaikan, bermula dengan bersangka baik, memberikan senyuman dan memberi salam.

Hati juga umpama kebun, semaikanlah “benih” rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai “buah” kebaikan. Ramadan yang semakin tiba ke penghujungnya ini ialah saat yang terbaik untuk membersihkan hati. Bayangkan apabila diri kita mendapat rahmat Allah, kemudian kita berusaha untuk meraih keampunan-Nya dan akhirnya dengan hati yang bersih itulah kita akan bebas daripada seksa api neraka. Insya-Allah.

Tuesday, August 16, 2011

Nabi Muhammad penjamin syurga...

Alhamdulillah, kita terus diberi peluang menghayati Ramadan tahun ini. Kita juga harus tidak lupa mengenang jasa Rasulullah SAW yang yang mengajar kita erti Ramadan melalui kata-kata dan contoh amalan baginda.

Dalam ruangan ini kita masih membahaskan bab keistimewaan dan kelebihan Nabi SAW. Ia terpaksa dibahaskan walaupun sebenarnya tajuk ini tidak sepatutnya jadi kontroversi.

Jika dianalisis dengan insaf, sepanjang sejarah aliran-aliran yang sesat dalam Islam, jarang sekali puncanya kerana terlampau mengangkat dan melebihkan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tersasar kerana terlampau dalam melebihkan yang lain.

Syiah tersilap kerana terlampau melebihkan Saidina Ali. Qadiyani terkhilaf kerana melebihkan Mirza Ghulam Ahmad.

Kumpulan-kumpulan Neo-Khawarij dan Neo-Mu'tazilah (Khawarij dan Mu'tazilah Moden) pula tersesat kerana terlalu melebihkan akal fikiran sendiri berbanding dengan tafsiran yang berautoriti.

Adapun aliran tradisi, Asha'irah, Sufi atau seumpamanya yang sebenarnya merupakan majoriti ummah yang kadang-kadang dituduh tersesat kerana terlalu mengagungkan Nabi SAW.

Hakikatnya sikap mereka ini menepati acuan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma mungkin sesetengah sudut kelebihan Nabi SAW jarang dibentangkan dengan baik sehingga kedengaran aneh dan janggal bagi mereka yang jarang mendengarnya.

Ia termasuklah soal keistimewaan Nabi Muhammad dalam menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al-Hafiz al-Suyuti, al-Qustallani, dan al-Zurqani di dalam syarahnya bagi kitab al-Mawahib al-Ladunniyyah.

Kita sedia maklum, bahawa al-iqto' iaitu menjamin tanah syurga hanya dimiliki oleh ahli tauhid dan dengan izin perkenan daripada Allah SWT sama ada melalui wahyu, ilham atau pun al-tafwidh (penyerahan) daripada Allah.

Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi, dan Allahlah Pengurnia."

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda.

Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan makruf pada sesiapa pun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.

Ia adalah ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu.

Jika ia dinisbahkan kepada Nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi, dan menyokong baginda.

Keistimewaan ini mempunyai contoh dan asas yang amat banyak dan kita hanya akan menyebut yang terpenting sahaja.

Antaranya, makna menjamin tanah syurga adalah nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke syurga.

Saksi Baiah Aqabah ahli syurga

Jaminan ini diperolehi oleh mereka yang menyaksikan Baiah (Perjanjian) Aqabah. 'Ubadah ibn Somit meriwayatkan dengan katanya: "Aku termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian Aqabah yang pertama.

"Dalam perjanjian tersebut, kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kita, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kita ada-adakan di antara kita dan tidak akan menderhakai nabi dalam perkara kebaikan."

Baginda bersabda: "Jika kalian menyempurnakan baiah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki Dia akan menyiksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian."

Disebut oleh Ibnu Kathir dalam Bab Permulaan Keislaman Kaum Ansar (Ibnu Kathir: Al-Sirah, 2:176).

Dalam Sahih Muslim disebutkan dengan tegas bahawa baiah tersebut disyaratkan dengan jaminan masuk syurga. Ubadah ibn Somit berkata: "Aku termasuk di antara pemimpin yang membaiah Rasulullah SAW."

Dia berkata lagi: "Kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kita dijanjikan syurga jika kita melakukan perkara-perkara tersebut."

Dalam satu riwayat disebutkan, bahawa Nabi bersabda: "Sesiapa menyempurnakan (baiahnya), maka baginya balasan syurga (Ibnu Kathir, al Bidayah wal al Nihayah, jld 3 hlm 150)."

Menurut riwayat Qatadah mereka yang berbaiah itu berkata: "Wahai Rasulullah! Apa hak kita jika kita memenuhi (baiah itu)?" Baginda SAW menjawab: "Syurga. (al-Bidayah wal al-Nihayah, 3: 162)."

Menurut riwayat Ibnu Mas'ud bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah melaksanakan (baiah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga (riwayat Imam al Tabrani. Lihat Majma' al Zawa'id, 6: 47)."

Utbah ibn Amru al Ansari meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: "Jika kamu melaksanakan (baiah) itu, kamu berhak atas jaminan Allah dan juga aku, untuk masuk syurga (riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu 'Asakir. Lihat Kanz al 'Ummal 1: 67)."

Berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah, disebut bahawa Rasulullah pernah memberikan kedua belah capalnya kepada Abu Hurairah.

Kemudian baginda bersabda kepadanya: Pergilah kamu! Sesiapa sahaja yang kamu temui di belakang dinding ini bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, maka gembirakanlah dia dengan syurga. (riwayat Imam Muslim di dalam Kitab al Iman).

Begitulah sebahagian perbahasan berkenaan soal ini yang akan disambung minggu hadapan dengan izin-Nya.

Kesimpulan awal yang boleh dibuat di sini adalah tidak salah menerima ungkapan Nabi SAW menjamin syurga dengan kefahaman yang kita sebut di atas.

Ia tidaklah bercanggah dengan tauhid kerana hakikatnya kelebihan ini tidaklah terkeluar daripada kurniaan dan kekuasaan Allah SWT.

Sunday, August 14, 2011

Pemuda yang dirindui Jaman...

Tahukah Anda siapa mereka ?

Mereka adalah para pemuda
yang hatinya diliputi cahaya iman & islam
yang jiwanya tertanam hakikat dua kalimat suci
LAAILAA HA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH
yang hidupnya menjalani keterasingan dalam dunia
yang kesehariannya diisi 'amal ibadah
yang kegemarannya membaca qur'an, menghafal,
mentadaburi dan meng'amalkannya
sementara yang lainnya disibukkan dengan bacaan maksiat
lagi sesat dan menyesatkan
yang kesibukannya larut dalam dzikir
sementara yang lainnya larut dalam ghibah dan fitnah
yang menjaga 'amalan sunnah
sementara yang lainnya ber'amal bid'ah & khufarat
yang kehidupan malamnya diisi dengan tangisan taubat
dan keinsyafan
sementara yang lainnya bergelimang dosa dan kekufuran
yang hiburannya mengunjungi para 'ulama dan majelis ilmu
sementara yang lainnya berhura-hura dengan kesenangan
dan lupa akan kematian
yang mata dan syahwatnya terjaga dari keharaman memandang
dan perbuatan
sementara yang lainnya bebas berkhalwat dan mengundang kemurkaan
yang hiasan akhlaqnya adalah sifat malu
sementara yang lainnya mempertontonkan kehinaan dan kebinasaan
yang jiwanya menggelora pada pengorbanan da'wah dan jihad
sementara yang lainnya diperbudak syetan terkutuk
dan penjara nafsu

Kelak pada suatu masa
Saat dimana tiada seorangpun yang dapat menolong dirinya
Saat dimana catatan 'amal dibagikan
Maka tiada suatu perkarapun yang dapat luput
dalam pengawasan dan timbangan dari yang Maha Adil
Wajah-wajah berdosa tertunduk pada kengerian dalam tatapan
Lautan keringat yang menenggelamkan
Penyesalan yang tiada pernah berakhir
Namun waktu tak akan dapat kembali bergulir
Tiada malam dan kegelapan yang menentramkan
Tangisan penyesalan yang tiada gunanya
Semua dihadapkan pada pengadilan yang Maha Tinggi

Akan tetapi mereka (para pemuda) akan tersenyum
Kesejukan yang dipayungi keredhaan abadi
Tanpa rasa takut dan kesedihan
Duduk dalam mimbar-mimbar cahaya
beralaskan mutiara, emas dan permata dunia
Jamuan Telaga Kautsar yang menghilangkan dahaga
Dari tangan kekasih yang mulia (Rasulullah Saw)
Dan perjumpaan pada Sang Pencipta

Semoga Allah pilihkan dan golongkan kepada
Saya dan Anda
Ahli keluarga saya dan Ahli keluarga Anda
Pada golongan pemuda
Sehingga ketika mereka (para pemuda) ditanya :
"Akulah pemuda yang dimaksud"

Friday, August 12, 2011

SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: TANYA DIRI KITA DULU! Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya belum ingin mengulas tentang ‘serangan’ atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan ‘serangan’ itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah. Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;
 

1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain?
2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?
3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!
4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.
5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu –sedangkan kita mampu- kita menyalahkan orang lain yang membantu.
6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?
Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!

Rapuh...

detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu