Friday, March 23, 2012

ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH... by Gentarasa

Benarlah, rumah tangga ummah ini sedang tergugah. Ertinya, kubu kita yang terakhir sudah ditembusi. Apabila dilaporkan setiap 15 minit berlaku satu perceraian, kita menjadi benar-benar bimbang. Betapa banyak ‘masjid’ yang roboh dalam masa sehari jika setiap 15 minit berlaku satu perceraian?
Akan tercapaikah perintah Allah agar “selamatkan dirimu dan keluargamu daripada api neraka?”. Akan  adakah lelaki yang terbaik sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, maksudnya”dia yang terbaik ialah yang terbaik dengan keluarganya?” Ramai isteri mahupun suami menghubungi saya, meminta pandangan, saranan dan nasihat… Terus-terang saya katakan saya juga tidak berdaya. Sumbangan saya hanya tulisan dan buku. carilah di situ, Itulah sumbangan kecil saya. Mudah-mudahan, adalah sedikit panduan. Kali ini saya paparkan satu tulisan sebagai peringatan buat diri dan semua pengunjung :
ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..
 Mengapa sukar benar hidup bersamanya? Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah. Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya sungguh menyesal.
 Begitulah antara suara rintihan dan kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila ‘warna sebenar’ pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang ‘reverse’ ke belakang, dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada awal perkahwinan.
 Ini bukan muhasabah yang sehat. Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya ‘menggergaji abuk kayu’. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi. Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah… dia suami atau isteri kita itu ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah ditakdirkan Allah hidup bersama.
 Jangan ada di dalam hati kita rasa menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji. Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah… kerana itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.
 Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.
 Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan…ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik. Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali… cukup hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali.
 Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya, air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta!
 Carilah semula di mana iman kita letakkan di dalam rumah tangga kita. Bukankah iman yang kita yakini dulu, kini dan selama sebagai dasar dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia? Justeru, semak semula niat di hati, apakah rumah tangga kita masih fokuskan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.  Jika dahulu dasar istikharah kita untuk menjadi dan mencari pasangan yang soleh dan solehah, apakah kita masih berjalan di garis itu? Atau niat kita sudah sedikit melencong kerana hentakan ujian dan cabaran dalam berumah tangga?
 Ingat kembali bagaimana cinta kita bermula. Bagaimana istikharah telah menyatukan kita. Dengan hati yang jitu terbinalah rumah-tangga atas niat ingin menunaikan perintah Allah. Di situlah simpulan cinta dia dan kita diikat melalui akad nikah yang sah. Maka dengan nama Allah terdirilah sebuah rumah-tangga ini.
 Mesjid adalah ‘rumah’ Allah, maka begitulah sebuah rumah-tangga yang dibina atas nama Allah – ia umpama sebuah mesjid yang didalamnya suami, isteri dan anak-anak akan menegakkan hukum-hakam Allah. Jika berlaku sesuatu yang kusut dalam rumah-tangga, maka dengan mudah ia dapat diuraikan sekiranya suami dan isteri kembali merujuk ke pangkal penyatuan mereka dahulu yakni Allah. Dengan nama Allah kita bertemu (bernikah), maka kepada Allah jua kita merujuk segala-galanya sepanjang perkahwinan ini.
 Ertinya, Allah itu bukan sahaja perlu dirujuk ketika awal pemilihan semasa kita beristkharah, tetapi di pertengahan, di hujung sehingga ke akhir perjalanan sebuah rumah tangga. Tuhan telah menyediakan kebahagiaan untuk setiap pasangan yang berumah tangga, tetapi kita perlu berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan yang telah disediakan itu. Allah telah menyediakan rezeki untuk burung… tetapi burung perlu terbang untuk mendapatkannya!
 Jika ada iman, besarlah cita-cita. Apabila besar cita-cita, menjadi keillah masalah. Keluarga yang dibina atas dasar akidah juga mampu berdepan dengan apa jua ujian. Samada ujian itu dalam bentuk kekurangan harta benda, pergeseran jiwa, perbezaan fikiran atau pertembungan emosi antara suami dengan isteri atau ibu-bapa dengan anak-anak.  Kesatuan hati mudah dibina dengan sama-sama meletakkan Allah sebagai kuasa Pencatur dan Pengatur dalam apa jua tprogram, dan aktiviti di dalam rumah-tangga.
 Jika berlaku ujian kesusahan atau sesuatu yang tidak diingin, sikap menyalahkan orang lain kurang berlaku kerana masing-masing melihat kelemahan diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain. Kemudian sama-sama menerima semua itu sebagai takdir lalu berusaha mengatasinya mengikut lunas-lunas yang dikehendaki Allah.
 Ya, tentu ada marah. Ya, pasti ada sedih, terkilan atau apa sahaja. Namun kemarahan, kesedihan, terkilan dan apa sahaja rasa-rasa yang negatif hanya sementara, cuma seketika… cita-cita yang besar (untuk hidup bersama di syurga) menyebabkan kita mampu memaafkan, meminta maaf dan akhirnya melupakan… dan kemudian pelayaran diteruskan lagi untuk menuju cita-cita besar itu.
 Istikharah bukan sahaja mengundang musibah. Istikharah juga menuntut mujahadah. Syurga itu maharnya mujahadah. Justeru tekanlah sifat-sifat mazmumah (buruk) sehingga ke paras paling minima. Bermujahadahlah kerana Allah bukan hanya untuk mendapat  penghargaan suami atau isteri. Isteri perlu mujahadah mentaati suami walaupun ketaatannya itu mungkin tidak dibalas dengan setimpal kerana dia berbuat demikian bukan mengharapkan balasan suami tetapi semata-mata kerana Allah. Walaupun takdirnya suami seorang yang menderhakai Allah tetapi itu bukanlah sebab untuk menderhakainya selagi apa yang disuruh atau dikehendakinya tidak berlawanan dengan kehendak Allah.
 Inilah ketaatan yang diberikan oleh wanita solehah – Siti Asiah isteri kepada Firaun yang terkenal kerana derhakakan Allah. Siti Asiah berbuat  baik kepada Firaun bukan kerana mengharapkan balasan Firaun tetapi hanya semata-mata taatkan perintah Allah yang menyuruh seorang isteri taatkan suaminya walaupun suaminya seorang penderhaka. Hanya apabila menyentuh soal akidah, Siti Asiah bangun melawan dan akhirnya terbunuh sebagai syuhadak.
 Begitulah suami yang memberi kasih sayang. Apa jua karenah isteri, terimalah dengan redha dan teruslah mendidik dan mendoakannya. Mungkin itu adalah takdir yang harus diterima kerana itulah jalan menuju syurga. Raihlah pahala dan kemuliaan seperti Nabi Ayub, Nabi Lut, Nabi Nuh, yang bersabar menghadapi isteri yang derhaka demi mengharap redha daripada Allah. Isteri itu pemberiaan daripada Allah, baik dan buruknya adalah untuk menguji kita. Jangan hanya dilihat pada pemberiannya (isteri) tetapi lihatlah siapa yang memberinya (Allah).
 Apabila sebuah keluarga benar-benar beriman maka mudahlah mereka menerima syariat sebagai peraturan. Orang yang yakin dengan Allah, pasti yakin dengan peraturan-Nya. Syariat adalah jalan atau platform untuk menuju matlamat  yang telah ditetapkan bagi sebuah keluarga.  Jika matlamat jelas tetapi jalannya kabur, maka tidak mungkin matlamat itu tercapai. Cita-cita menuju Allah memerlukan kita melalui jalan yang telah dibentangkan-Nya dalam Al Quran dan As Sunnah. Jalan itu ialah syariat.
 Oleh itu syariat yang merupakan peraturan-peraturan dari Allah itu mestilah menjadi panduan sepanjang melayari kehidupan berumah-tangga. Ia adalah ‘writen law’ yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota keluarga. Tidak ada siapa walaupun suami atau ayah (pemimpin dalam rumah tangga) yang harus berada ‘above the law.’ Semuanya tertakluk kepada hukum wajib, haram, sunat, harus dan makruh dalam setiap perlakuan dan tindakan.
 Pendek kata dalam rumah-tangga yang menerima syariat sebagai jalan dan peraturan tidak timbul soal ‘Queen Control’ atau ‘King Control’ tetapi suami, isteri dan anak-anak sama-sama tunduk kepada Allah – Raja segala raja. Tidak timbul siapa yang  menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan atau siapa lebih bijak dalam suatu perdebatan.
 Apabila iman dijadikan matlamat, syariat diambil sebagai jalan maka dengan sendirilah berbuahlah akhlak dalam keluarga tersebut. Akhlak adalah natijah hasil mengikut jalan yang jelas berpaksikan matlamat yang tepat.  Tanpa iman dan syariat tidak mungkin akhlak dapat dihasilkan. Di sinilah salahnya kita,  kita menyangka  istikharah itu segala-galanya. Padahal ia baru mukaddimah. Ya, terkadang kita terlalu cepat bercakap soal buah sebaik menanam biji benih tanpa menyedari banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendapat pokok yang baik .
Di sinilah letaknya kunci ke arah pelaksanaan pakej kebahagiaan bagi sebuah keluarga. Bermula dengan istikharah, dilalui oleh mujahadah, dan akhirnya barulah membuahkan rahmah dan mawaddah. Islam memberi penyelesaian menjurus dan tembus kepada punca pemasalahan bukan mengubat gelaja-gejala atau akibat-akibatnya berkisar pada formula-formula pinggiran.
 Ya, sebagai hamba Allah, merujuk kepada Allah bererti pengabdian secara total kepada kehendak dan peraturannya. Dan bila ini ingin dilakukan kita terpaksa kembali ke pangkal segala urusan yakni beriman kepada-Nya. Roh istikharah (merujuk kepada Allah) itu bukan hanya diawal perkahwinan, tetapi di pertengahan, di sepanjangnya, sehinggalah sampai ke hujungnya… syurga. Inilah istikharah cinta!
 ISTIKHARAH CNTA
 Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan indahnya permulaan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan persengketaan…
sepanjang perkahwinan

Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh retaknya ukhwah
Sejauh mana kasih cinta kita berdua
Dibatasi oleh cinta kita pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah percintaan
Isteriku…
Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
 Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
 Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!
 Isteriku…
Istikharah cinta kita…
Inilah tagihannya
Istikharah cinta kita…
Mujahadah itulah maharnya!

Thursday, March 22, 2012

Mesej yang baik, perlu disampaikan dengan cara yang baik dan pada ketika yang baik… Namun jika dimarah juga, kita berserah kepada Allah swt. Kita manusia yang lemah, Allah swt jua yang memberi hidayah...

Thursday, March 15, 2012

Biodata Rasulullah

Biodata Nabi Muhammad S.A.W :

Nama penuh: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Nama datuk: Syaibah bin Hâsyim dikenal dengan nama ‘Abdul Muttalib

Bapa-bapa saudara:
• Al-Harith bin Abdul Muthalib
• Muqawwam bin Abdul Muthalib
• Zubair bin Abdul Muthalib
• Hamzah bin Abdul Muthalib
• Al-Abbas bin Abdul Muthalib
• Abu Thalib bin Abdul Muthalib
• Abu Lahab bin Abdul Muthalib
• Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
• Hijl bin Abdul Muthalib
• Dzirar bin Abdul Muthalib
• Ghaidaq bin Abdul Muthalib

Nama Ibu susuan Rasulullah:
- Ibu susuan pertama Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
- Ibu susuan kedua Halimah binti Abu Zuaib As-Sa‘diah (lebih dikenali Halimah As-Sa‘diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun

Nama isteri-isteri Rasulullah:
1. Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah bt. Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah bt Abi Bakr r.a (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab
5. Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a
7. Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith
8. Safiyah bt. Huyay
9. Zainab bt. Jansyin
10. Asma’ bt. al-Nu’man al-Kindiyah
11. Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah
12. Zainab bin Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

Nama anak-anak Rasulullah:
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’
8. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).[anak tiri Rasulullah]

Pengalaman bekerja Rasulullah:

* Semenjak kecil lagi, baginda telah menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya.
* Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
* Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.
* Ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Bukti Rasulullah adalah seorang ketua keluarga yang patut dicontohi: Rasulullah merupakan seorang yang pengasih.
* Sebagai seorang suami, baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak, menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
* Sebagai seorang bapa, baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak.

Gelaran Al-Amin: Baginda merupakan seorang yang jujur, amanah dan budi pekerti. Perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai sehingga baginda diberi gelaran al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy.

Sifat-sifat terpuji Rasulullah:
- Berkata benar (siddiq)
- Boleh dipercayai (amanah)
- Penyampai ajaran Islam (tabliq)
- Bijaksana (fatanah)

kepimpinan Rasulullah disebalik peristiwa banjir di kota Mekah ketika Rasulullah berusia 35thn: Kota Mekah telah dilanda banjir kilat yang menyebabkan dinding kaabah pecah dan runtuh. Kaum Quraisy telah membina semula bahagian yang runtuh. Kemudian timbul perbalahan antara ketua kaum Quraisy yang berebut untuk mengangkat dan meletakkan Hajar Aswad di penjuru sebelah timur bangunan kaabah. Perbalahan ini hampir menimbulkan peperangan. Rasulullah telah menjadi hakim bagi menentukan kedudukan Hajar Aswad dan secara tidak langsung Rasulullah telah meleraikan perbalahan antara ketua kaum Quraisy.

Peristiwa Rasulullah menerima wahyu:
- Wahyu pertama diterima Rasulullah pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Ketika itu Rasulullah berusia 40 tahun.
- Wahyu tersebut diterima baginda di Gua Hirak al-Jabar Nur.
- Surah al-Alaq, wahyu pertama yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- Wahyu kedua, surah al-Muddasir (ayat 1-7) diturunkan di Bukit Nur berhampiran Makkah.
- Wahyu kedua ini menandakan pelantikan baginda sebagai Rasulullah atau pesuruh Allah.

Tokoh-tokoh awal memeluk Islam:
• Zaid bin Harithah (anak angkat nabi)
• Ali bin Abu Talib (sepupu nabi berusia 10 tahun)
• Khadijah binti Khuwailid (isteri nabi dan orang pertama memeluk Islam)
• Abu Bakar al-Siddiq (sahabat karib)

wahyu pertama yg diterima oleh Rasulullah, masanya dan usia Rasulullah:
- Wahyu pertama iaitu dari surah al-Alaq yang berbunyi “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ”
- pada hari isnin, 17 ramadan (6 ogos 610 M)
- Berusia 40 tahun.

Keadaan Rasulullah ketika menerima wahyu:
Pada suatu ketika sedang dia bertafakkur itu datanglah malaikat kepadanya, lalu berkata: “Bacalah!” (Iqra’). Lalu Rasulullah menjawab; “Saya tidak pandai membaca.” Lalu kata beliau: “Maka diambilnya aku dan dipagutnya sampai habis tenagaku. Kemudian dilepaskan¬nya aku dan dia berkata pula: “Bacalah!” Tetapi aku jawab: “Aku tidak pandai membaca!” Lalu dipagutnya pula aku sampai habis pula tenagaku.

Kemudian ditegakkannya aku baik-baik dan dikatakannya pula: “Bacalah!”, yang ketiga kali, lalu berkatalah malaikat itu: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menjadikan,” sampai kepada ujung “Yang telah mengajarkan kepada manusia apa yang dia tidak tahu.” Setelah sampai pada ujung ayat tersebut malaikat itu pun ghaiblah dan tinggallah beliau seorang diri dalam rasa kengerian.

Lalu beliau segera pulang kepada isterinya Khadijah. Lalu beliau berkata: “Selimutilah aku, selimutilah aku.” (Zammiluuni, zammiluuni). Maka segeralah orang-orang dalam rumah menyelimuti beliau, sampai rasa dingin itu hilang. Lalu berkatalah beliau kepada Khadijah: “Hai Khadijah, apakah yang telah terjadi atas diriku ini?” Lalu beliau ceriterakan segala yang telah beliau alami itu, akhirnya beliau berkata: “Aku ngeri atas diriku.”

Cerita Sufi

Sebuah cerita... Moga bisa jadi pelajaran kita... Kisah tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya... “Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung... “Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”
“Kerana serban besar yang tuan pakai.” Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya... “Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku... Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”

:)

Pengajarannya:

Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya... Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki... Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”

Friday, March 9, 2012

Menyambut Kelahiran Dalam Islam

Menyambut Kelahiran Dalam Islam
Objektif :

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.

Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.


Aktiviti :

1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.
Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa' dan surah Al-Hasyr.

Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :

Maksudnya : "Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).


2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.
Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi' r.a. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : "Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a."

Riwayat Abu Daud dan Tirmizi


3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.
Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :

Maksudnya : "Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".

Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya".


5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.
Memberikan nama yang baik.

Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu".

Riwayat Abu Daud

Membaca Doa ketika memberikan nama anak.

Maksudnya : "Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu'akad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya".

Riwayat abu Daud

Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.

Maksudnya : "Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ……(sebut nama anak)….

Gesaan Aqiqah :

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu".

Muttafaqun A'laih

Antara hikmah aqiqah adalah :

Membiiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.

Melindungi diri dari gangguan syaitan.

Bercukur rambut.

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :

Hikmah kesihatan.

Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.

Hikmah kemasyarakatan.

Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata :

Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak".

Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

Khurafat yang perlu ditinggalkan.

Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : "Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka".

Mengkhatankan anak.

Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan :

Maksudnya : "Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita".

Riwayat Abu Daud

Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.

Antara faedah berkhatan adalah :

Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit.

Membersihkan diri dari kekotoran.


6. Menyusukan Anak.
Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.

Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:

Maksudnya : "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu".

Imam As-Syafie berkata

"Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan".

Kelebihan menyusukan anak :

Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.

Bila ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah.

Wednesday, February 8, 2012

Apabila dikhianati... By gentarasa

”Walaupun ustaz jarang up date, tetapi saya tetap mengikuti perkembangan Gentarasa.” Begitulah suara seorang peserta program KEPIMPINAN MUKMIN PROFESIONAL yang diadakan di Desa Ru hujung minggu lalu. Saya tersenyum, kata-kata itu mempunyai dua makna – pertama, dia meminati input Gentarasa. Kedua, dorongan untuk saya selalu meletakkan entri baru. Terima kasih, atas peringatanmu peserta dari Singapura itu…



Insya-Allah, saya akan berusaha menunaikan harapan daripada pengunjung. Saya akan mengatasi masalah sever di tempat saya yang selalu tergendala, masa menulis selepas Subuh yang selalu dipinggirkan kerana berkejar bagi mengelakkan ’trafic jam’ atau mengantuk yang kerap menyerang mata tua saya sebaik sahaja jarum jam mencecah jam 10 malam.



Buat pengunjung, saya hanya mengharapkan doa dan nasihat kerana dua itu juga yang saya mampu berikan untuk saudara/i. Buat kali ini, mari kita kongsikan sebuah nukilan rasa yang saya kutip daripada masalah-masalah yang sering dikemukakan oleh pengunjung. Ada yang berdepan dengan masalah suami, isteri, boss atau ibu-bapa sendiri. Ya, begitu sakit…



APABILA DITIKAM DARI BELAKANG…



Bagaimana rasanya jika anda ditikam dari belakang? Maksudnya, anda dikhianati oleh orang yang anda percayai, hormati malah sayangi. Apakah perasaan anda jika anda ingin perkara seumpama itu tidak berlaku (malah tidak pun menyangkanya) tetapi ia berlaku juga dalam episod hidup yang singkat ini? Ya, anda, saya dan kita semua pasti melalui episod yang sedih dan tidak disangka itu dalam hidup. Jika tidak berkali-kali, pasti sekali kita mesti ’terkena’.

Saya ingin tegaskan… mesti ada rasa takut, jeran dan kecewa. Malah kadangkala anda menjadi curiga dan berprasangka buruk dengan semua orang. Insiden pahit yang sekali itu menjadi trauma dalam jiwa yang menyebabkan kita sukar mempercayai sesiapa lagi. Ya, jika dia yang begitu akrab dengan kita, mungkin begitu tinggi ilmunya, mungkin telah banyak budi dan jasanya… pun tergamak melakukanya, apatah lagi orang lain? Begitu getus rasa kita.

Jika itulah akibatnya, hidup kita akan hilang bahagia. Kita tidak akan ceria lagi. Bila kita sudah tidak ceria, apa yang dibuat pasti tidak menjadi. Hari-hari yang indah bertukar gundah. Kita rasa malas melangkah dan segala potensi diri pudar tidak menyerlah!

Jika itulah yang berlaku, kita sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati kita. Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita berkali-kali. Jangan biarkan dia menang. Sebaliknya, berhentilah mengenang perbuatannya. Jauhkan diri dan berhati-hati dengan ’gunting dalam lipatan’ ini.

Tetapkan satu jarak yang jauh tetapi jangan memutuskan. Sekiranya tidak mampu melupakan, tidak mengapa, tetapi belajarlah memaafkan. Jangan membalas. Jangan kita mengkhianati diri sendiri hasil pengkhianatan orang kepada kita!

Bersabar atas karenah pergaulan dengan manusia adalah tuntutan agama. Kita tidak hidup dalam masyarakat malaikat – yang tidak alpa dan tidak berdosa. Tarik nafas dalam-dalam dan helakannya panjang-panjang. Cubalah bermuhasabah dengan diri sendiri penuh berani dan jujur. Acapkali, kita dikhianati kerana pernah mengkhianati. Atau kita berdiam diri apabila orang lain dikhianati dan dizalimi. Padahal, membela dan bersuara atas kebenaran itu satu tuntutan. Jangan dayus, penakut dan peangpu… itu umpama syaitan bisu.

Sudah lumrah dalam hidup ini, kita terpaksa hadapi perkara yang tidak kita inginkan. Kita tidak mampu mengawal semua yang berlaku agar sentiasa cocok dengan keinginan dan kemampuan kita. Justeru, selalu berlaku perkara-perkara yang kita sendiri tidak inginkan berlaku. Lantas kita akan mengalami ketakutan – takut sakit, takut gagal, takut dicerca orang dan sebagainya. Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini.

Itu semua adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani semua itu dengan cara yang sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya, malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan. Salah satu caranya ialah dengan membesarkan cita-cita. Ya, cita-cita yang besar akan mengecilkan kritik, pengkhianatan dan sabotaj oleh musuh dalam selimut!

Bayangkan dalam perang Khandak yang hebat itu. Musuh – tentera-tentera Ahzab mengepung di luar kota Madinah, manakala Yahudi menikam dari dalam kota Madinah. Ditambah oleh tipu daya licik para munafik. Bekalan makanan pun kekurangan. Bagaimana Rasulullah menghadapi ya?

Ya, dengan menanamkan satu berita dan cita-cita besar – Rom dan Parsi – dua kuasa besar dunia ketika itu akan tersembam di telapak kaki umat Islam. Jika difikirkan mana logiknya? Sedangkan tentera gabungan puak Quraisy dan pengkhianatan pihak Yahudi sedang mencengkam pada saat yang sangat kritikal itu. Namun itulah Rasulullah… penderitaan dunia yang sedang dihadapi diperkecilkannya dengan janji syurga, ancaman musuh di peringkat ’local’ dipermudahkannya dengan kejatuhan musuh besar di peringkat internasional.

Jangan trauma dengan pengkhianatan masa silam. Jangan bimbang dengan pengkhinatan masa akan datang. Tetapi binalah cita-cita besar yang mampu ’meremehkan’ semua itu. Dengan cita-cita besar kita akan menjadi raja. Bukan raja untuk berbangga tetapi raja yang mempunyai keyakinan diri dan kemurnian reputasi. Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang… kerana dia hakikatnya lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan!

Tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati. Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang menyala-nyala maka akan sentiasa ada ’musuh’ dalam selimut yang ingin mengacau kita. Kritik yang tidak adil adalah pujian yang tidak rasmi. Tikaman dari belakang petanda kita gagah dan digeruni untuk dihadapi secara berdepan.

Yang penting, bermusabah diri. Jaga hati agar sentiasa lurus dan tulus. Jaga perlakuan agar sentiasa diikat oleh syariat. Jika itu telah dapat kita usahakan… pengkhianatan akan dapat kita hadapi dengan senyuman. Strategi liciknya akan membelit dirinya sendiri. Dan dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri!

Kita? Biarlah tetap menjadi hamba Allah. Tetapi menjadi raja kepada diri kita sendiri!

Nikmatilah tulisan ini:

JADILAH SEORANG RAJA!

“Berapa lama awak dalam bidang ini?” Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini. Silap-silap anda akan terasa kerdil bila si penanya akan meletakan ‘orang besar’ dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat. Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasib ku!

“Berapa ramai anak di universiti?” Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, “dalam bidang apa? Doktor, jurutera, farmasi atau arkitek?” Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap ‘prestij’, si penanya akan menerangkan betapa ‘rendahnya’ nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya ‘biasa-biasa’ sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah hati akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku…

Itu belum lagi anda bertemu dengan ‘pak lawak’ yang merasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan ‘orang-orang besar’. Anda seperti hendak ketawa bila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Sri ini, Datuk ini, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya. Padahal dia hakikatnya hanya ‘pecacai’ sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia ‘kecil’ bila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan ‘orang besar’nya. Angguk-angguk, tunduk-tunduk… Ya, Tok! Yes, Tan Sri!

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas, mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar) seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

“Bagaimana rasanya bila tidak dihargai?” tanya Mat. Nadanya sedih.

“Mengapa?” tanya saya simpati.

“Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama.”

“Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu.”

Dia merenung jauh.

“Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama.”

“Tetapi aku sedih… Setelah sekian banyak yang aku lakukan.”

“Jangan mengharap terima kasih Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup di dunia ini tidak pandai berterima kasih. Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula kepada sesama manusia,” kata saya seakan memujuk.

“Aku sedih, itu sahaja…”

“Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga.”

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

“Apa maksud kau?”

Melihat Mat mula tenang saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita: Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang Sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

“Selamat datang ulama, selamat datang orang alim… Ajarkan kami, ajarkan kami,” sorak penduduk kampung.

“Mengapa kamu semua merasakan aku orang alim?”

“Kerana serban besar yang tuan pakai.”

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

“Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldai ku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!”

Mat ketawa mendengar cerita saya.

“Kau tahu, Nasirudin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita bukan pakaian, gelaran dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri.”

“Betul ke?”

“Ini hasil kajian pakar psikologi Mat… Menurut mereka penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita.”

“Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?”

“Kau lebih tahu Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu.”

Cerita kedua: Seorang bijak pandai telah dijemput ke satu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan dan pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya. “Mengapa?” tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, “tuan rumah hendak menjamu pakaian ku bukan diri ku!”

Sekali lagi Mat ketawa.

“Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to ‘complete’ not to ‘compete’ – hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!”

Kemudian, giliran Mat pula bercerita – betapa ramai anak yang begitu ‘admire’ dengan Ibu Mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya, ibu Mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula ibu yang impikan anak seperti mereka yang dianugerahkan ‘Pelajar Cemerlang’, ‘Remaja Dedikasi’ dan sebagainya… hingga merasakan anak sendiri kurang ‘harga’nya.

“Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?”

“Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu yang terbaik… tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri.”

“Tepat Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai ‘kelebihan’ atau ‘kebaikan’ kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu.”

“Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?”

“Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain.”

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang kepada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia… hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang Raja bertanya kepada seorang petani miskin, “siapa kamu?”

“Saya raja,” jawab petani.

“Raja?”

“Ya, raja pada diri saya sendiri!”.

Tuesday, February 7, 2012

Mengapa kita diuji

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah seseorang hamba @ para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah swt.