Friday, March 23, 2012

Dengan Kualaiti Jiwa Bukan Kualiti Harta By Gentarasa

 Maaf, kiranya saya membuat para pengunjung blog tertunggu-tunggu entri baru. Agak lama juga saya tidak menulis dalam blog ini. Mengerjakan tiga buku serentak, memang menguji ketabahan dan ketelitian. Itulah yang menjadi hambatan saya dalam beberapa minggu ini. Saya cuba selesaikan tiga buku serentak – sebuah yang agak berat dan ilmiah, satu lagi agak santai dan kreatif, manakala yang ketiga pertengahan diantara keduanya. 
 
Insya-Allah, Mukmin Profesional – Celik Mata hati, Nota fikir untuk Zikir dan R & R Rohani akan terbit tidak lama lagi. Cuma ketentuannya di tangan Allah jua. Disamping itu ada satu tugas asas dan teras yang sangat mencabar. Pembaikan dan penambahan nilai untuk modul Penghayatan Amanah dalam Profesyen yang telah dilaksanakan untuk kakitangan Bank Rakyat. Insya-Allah, banyak penambah-baikan akan dilakukan pada pelaksanaan program latihan yang akan datang.
Saya bersyukur kerana mendapat banyak doa dan dorongan daripada pengunjung. Itu menguatkan jiwa dan semangat saya untuk terus menulis. Saya sering mengingatkan diri, usaha kita mengingatkan orang lain adalah juga usaha kita untuk memperbaiki diri sendiri. Dijauhkan Allah dari bersifat hipokrit. Walaupun kekadang apa yang diingatkan untuk orang lain, terlupa kita padankan pada diri sendiri. Saya, anda dan kita semua hanya INGIN jadi baik, belum benar-benar jadi baik. Kita insan yang sedang bermujahadah.

Baiklah sahabat dan saudara-saudaraku, kali ini mari kita sama-sama telusuri tulisan yang sangat sederhana ini. Semoga sadara/i ikhlas membacanya, sepertimana saya cuba ikhlas ketika menulisnya. Bacalah… dengan kualiti jiwa, bukan kuantiti harta... 

Redha Allah terletak pada redha ibu-bapa. Semua orang pernah mendengar ungkapan ini. Namun, berapa kerat yang memahami tuntutannya? Dan berpada kerat pula yang telah menunaikan tuntutannya? Ibu-bapa yang telah tua memang menguji anak-anak. Maklumlah, akalnya sudah lemah, pertimbangannya jadi singkat. Kerenah orang tua sangat menguji anak-anak.

Berapa ramai yang menganggap ibu-bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Menjaga ibu-bapa yang telah tua, bersabar dalam menghadapi kerenahnya sesungguhnya akan membuka pintu kerahmatan dan keberkatan daripada Allah swt.
  
Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua.

Mengapa tidak kini kita gunakan kaedah yang sama? Bukankah banyak permasalahan dan beban hidup yang berat sedang atau akan kita tanggung? Salah satu kaedah untuk mengatasi dan menangani masalah tersebut ialah dengan berbakti kepada orang tua dan menjadikan kebaktian tersebut sebagai perantaraan berdoa kepada Allah. Dengan syarat kita berbuat demikian dengan hati yang ikhlas.

Berapa ramai penulis yang “terbantut” idea dan mindanya, lalu dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah melalui perantaraan ketaatannya kepada ibu-bapanya? Atau ahli perniagaan yang dilanda masalah hutang atau merudumnya jualan, lalu istirahat seketika lantas berdoa meminta bantuan Allah melalui budi-baiknya terhadap ibu-bapa? Atau ahli politik yang diserang kiri dan kanan oleh musuh politiknya, mengambil sedikit masa untuk bermunajat kepada Allah melalui amalan baik terhadap kedua ibu-bapanya?

Ingatlah, ibu-bapa yang tua itu adalah satu aset. Kesusahan, kejemuan dan kebimbangan kita sewaktu menjaga mereka sebenarnya adalah mahar kepada sebuah ketenangan, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan. Namun sebaliknya, jika mengabaikan mereka itulah yang akan membuka kepada pintu kehancuran, keresahan dan kegagalan. Benar seperti yang pernah didendangkan oleh lagu lama, “ayah dan ibu wali-wali keramat.”

Ibu-bapa memang “wali keramat” kerana meminggirkan mereka (apatah lagi kalau sampai ke tahap menderhakai mereka) akan menyebabkan hidup kita terhijab (terhalang). Bukan sahaja kita orang awam ini, bahkan orang-orang Soleh sekalipun jika tersalah laku dengan ibu-bapa akan menerima padahnya. Lupakah kita kepada Juraij, seorang yang amat soleh (rajin uzlah dan beribadah) tetapi tertimpa malapetaka fitnah kerana tidak disenangi oleh ibunya.

Gara-gara begitu asyik dengan solat sunat, Juraij tidak menyahut panggilan ibunya. Ibunya sungguh terasa hati menyebabkan dia berdoa agar Juraij ditimpa fitnah. Benar, tidak lama kemudian Juraij difitnah berzina dengan perempuan jahat menyebabkan dia dihina dan disakiti oleh penduduk-penduduk setempat. Itulah bahananya mengecilkan hati ibu. Justeru, dari segi hukumnya, ajaran Islam menetapkan seseorang yang sedang bersembahyang sunat wajib menyahut panggilan ibunya setelah tiga kali panggilan itu diulang. Kenapa? Padahal solat itu hubungan dengan Allah, sedangkan menyahut panggilan ibu bapa itu hubungan sesama manusia? Apakah hak manusia lebih besar daripada hak Allah?

Tidak, bukan begitu. Sebenarnya itu didikan daripada Allah jua, agar seorang anak menjaga hubungan dengan ibu-bapanya semasa berhubung dengan Allah. Taat kepada Allah dan berbuat baik kepada kedua ibu-bapa ada kalanya dirangkaikan dalam ayat-ayat tertentu dalam Al Quran. Ya, jangan sampai mengejar cinta Allah, dengan mengabaikan cinta terhadap ibu-bapa. Yang setepatnya ialah cintailah ibu-bapa kerana mencari cinta Allah!

Bayangkan jika manusia sesoleh Juraij pun boleh ditimpa kesusahan kerana kesalahan yang boleh dikatakan kecil (berbanding kederhakaan anak-anak zaman ini) terhadap ibunya, apalagi kita. Kebaikan kita tidaklah setinggi dan sebanyak Juraij, sebaliknya kesalahan kita terhadap ibu-bapa kita lebih banyak daripadanya… Bila-bila sahaja kita boleh ditimpa malapetaka akibat kederhakaan ini. Dan mungkin kita tidak sedar, malapetaka itu telah pun menimpa kita.

Intai-intai dan telitilah kembali jalan hidup yang telah, sedang dan akan kita susuri ini. Berapa banyak halangan dan hambatan yang datang melanda. Berapa banyak kali kita kecundang? Apa yang dirancang kekadang sering tidak “menjadi”. Malang dan bencana datang timpa menimpa. Dicari sebabnya, dikaji puncanya, seakan-akan tidak terjumpa… mana tahu semuanya bahana derhaka kepada kedua ibu-bapa.
Dosa kita pada yang lain masih adalah istilah nanti dan tunggu. Tetapi dosa kepada ibu-bapa akan dibalas segera dan tiba-tiba. Sesetengah orang, hanya kerana dia telah menghulurkan bantuan ratusan malah ribuan ringgit sebulan kepada ibu-bapanya, dia telah menunaikan tanggungjawab… Jadi apabila ibu-bapanya “bersuara” sedikit, sudah berani dia membentak. Apa yang tidak cukup lagi? Apa lagi yang ibu hendak? Apa lagi yang bapa tidak puas hati?

Ingatlah, wang ringgit dan harta benda tidak akan mampu membalas jasa atau menebus bakti kedua orang tua kita. Bukan semua perkara dalam kehidupan ini boleh dibeli. Banyak perkara-perkara penting dalam hidup ini tidak boleh dinilai oleh kuantiti material dan fizikal yang kita ada. Antaranya, jasa dan bakti kedua ibu-bapa. Ia hanya boleh “dibayar” oleh kualiti jiwa bukan kuantiti harta.

Maksudnya, budi hanya dapat dibayar oleh budi. Jasa dengan jasa. Budi baik dan akhlak kita yang cantik sahaja dapat menyenangkan hati orang tua pada usia senja mereka. Layani mereka dengan baik, dengarlah cerita mereka (walaupun telah diulang berkali-kali), duduk berbual dengan mereka, membelai atau mengurut badan mereka dan yang paling penting sering menziarahi dan sentiasa berdoa untuk mereka.

Jangan lupa, satu hari kita juga akan melalui apa yang sedang lalui kini. Kita akan mencecah gerbang tua dan mengecap sisa-sisa umur dengan payah dan lelah seperti mereka… bagaimana kita saat itu? Tentukanlah nasib kita itu pada hari ini. Bagaimana? Taat, layan dan belai dengan penuh kasih sayang orang tua kita pada hari ini, insya-Allah anak-anak kita akan mengamalkan sikap yang sama terhadap kita pada akhir nanti.
Cerita dan nasihat ini bukan pertama kali kita dengar… tetapi semuanya diulang lagi kerana kita sering mengabaikan apa yang sering kita dengar. Kita sering menjadi umpama kelekatu yang melanggar lampu yang bercahaya sedangkan di bawahnya sudah begitu banyak kelekatu lain yang terkorban. Berapa banyak ikon anak derhaka dalam cerita rakyat seperti Sitanggang mahupun Malim Kundang yang kita benci dan caci, ironinya kita menjejak mereka tanpa kita sedari.

Sudah dianggap derhaka dengan mendecit perkataan “ah” kepada kedua ibu-bapa. Sudah dianggap melupakan mereka jika kita tidak mendoakan mereka selepas setiap kali mengerjakan solat. Sudah mengecilkan hati mereka jika sudah lama kita tidak menelefon ataupun menziarahi mereka di kampung… Oh, terlalu banyak kesalahan kita terhadap mereka. Dan apakah ini telah menyebabkan tertutupnya pintu kerahmatan dan keberkatan?

Rezeki banyak, tetapi tidak puas. Umur panjang, tetapi dipenuhi dosa. Masa lapang, tetapi hilang manfaat. Kesibukan yang memanjang, keresahan yang tidak berpenghujung mungkin sedang berlaku dalam hidup kita. Anak-anak degil. Isteri atau suami semakin degil dan tidak serasi… Apakah ini semua kerana dosa kita terhadap orang tua? Apakah Allah sedang murkakan kita?

Jika anda bertanya begitu, sila ulang baca ayat pertama pada awal tulisan ini!

Cinta dalam Islam...

Cinta ISLAM – Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam.
Doa-semoga-dipanjangkan-jodoh
Antara ayat yang kerap di ucapkan bila berbicara tentang cinta:
“Ala, aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..”
“Saya cintakan awak kerana Allah..”
“Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..”

Firman Allah S.W.T:
“Dan janganlah kalian mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
(Al-Israa’: 32)

Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naiknya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang.
Bagaimana kita boleh menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber’couple’ sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina.
Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.

“Macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!”
“Kalau minta ‘break’, nanti dia sanggup tunggu aku ke?”
“Tak apa kot, kami jaga pergaulan walaupun ‘couple’..”
“Kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..”

Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya? Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100% tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya.
Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
“Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).”
(Al-Nur 24 :26)
Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi ‘realiti kehidupan’ ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati.
Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan.
Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud;
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa” (Al-Furqan 25:74″)

Ingatlah!
Percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.

Hidup lebih Indah Jika Bersama Allah swt

TEMAN..
♥: Bila tubuhmu lesu dan hilang semangat, ALLAH tahu betapa kamu telah mencuba sedaya upaya..
:♥: Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan, ALLAH telah mengira setiap titis air matamu..
:♥: Bila dirimu telah terlanjur melakukan dosa, ALLAH sentiasa menunggu taubatmu..
:♥: Bila kau telah mencuba segalanya tetapi masih tak berhasil, ALLAH mengumpulkan segalanya untuk satu saat yang tak terduga..
:♥: Bila hatimu telah mengecapi kemanisan iman, ALLAH telah berada hampir padamu untuk kurniakan kejayaan hakiki..
cinta aku bahagia
:) Hidup Ini Indah Jika Bersama ALLAH :)

Nasihat Seorang Teman...

Salam. Bismillah..
Apa khabar hati?
Masihkah ia seperti embun?
Menunduk tawaduk dipucuk-pucuk daun..
Masihkah ia seperti batu karang?
Berdiri tegar menghadapi gelombang ujian,
Apa kabar iman?
Masihkah ia seperti bintang?
Terang benderang menerangi kehidupan..
“Dalam aku mencari redha-Mu tuhan, jiwaku perlu kepada mutiara ihsan, kalbuku perlu pada permata iman, agar diriku sentiasa indah dengan nikmat ISLAM, tetapi bagaimana harus ku merasai semua itu tanpa bantuan seorang teman yang mampu menjadikan diriku menuju ke sisi-Mu Tuhan.”
Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah melenyapkan rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka, kemudian digantikan dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tau bila Allah mencintaiku iaitu saat ku membenci segala kejahatanku..”
“Berpenat lelah la kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kesusahan, jangan berduka cita kerana hidup ini meletihkan, sebab demikianlah hidup ini diciptakan”Imam Syafie
Hadapilah setiap ujian yang mendatang dengan tenang dan menganggapnya ujian itu jalan kita menuju syurgaNya. Dia tdak akan menguji hambanya seandainya Dia tahu kita tidak mampu tapi kita diberi ujian bersyukurlah dengan sebenarnya kerana itu dia menandakan amat menyayangi kita..
Walau peritnya ujian walau pahitnya derita walau sakitnya jiwa walau pedihnya hati ibarat dlukai dgn garam tapi ketahuilah. setiap ujian itu mgharapkan kemanisan iman yang tiada nilainya.sukar ditafsirkan oleh hati sukar digambarkan dengan mata. Fahamilah sakit itu sebenarnya penawar segalanya. Bersemangatlah..
Semoga Allah redha dan kasih dengan kita semua. InsyaAllah..  Kita akan cuba untuk menjadi yang soleh dan solehah. Mungkin untukmu yang bergelar pemilik hatiku.Redhakanlah kami. Amin ya Rabb. Tabahkan hatiku.. :)

SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W By Gentarasa

Begitu lama tidak meletakkan entri baru dalam gentarasa. Saya dalam cabaran untuk membahagikan masa natara menulis, menjalankan program latihan, berceramah dan menguruskan hal-hal peribadi serta keluarga. 
 
Banyak yang perlu dipertimbangkan. Bukan dengan akal dan pemikiran sahaja, tetapi joga dengan hati dan perasaan. Kekadang logik itu menyakitkan. Kekadang emosi itu lepas dari kendali realiti dan kenyataan. Pohon hidayah Allah juga untuk membuat keputusan yang tepat dan tindakan yang paling bermanfaat. 

Dilema antara tuntutan menulis dan memberi ceramah ini sudah lama. Telah ada pun keputusannya. Saya ingin menulis! Itulah kata-kata pengukuhan. Namun kekadang ada panggilan di hujung talian menusuk hati walaupun kekadang yang mengundang untuk berceramah di surau-surau kecil yang tidak berapa ramai ahlinya. Saya kekadang bimbang, mana tahu ada orang di situ yang benar-benar inginkan petunjuk, manalah tahu ceramah daif daripada saya boleh enjadi sebabnya (hidayah milik Allah).
Banyak juga pelawaaan untuk muncul di TV terpaksa saya tolak. Kekadang tajuknya sangat besar sehingga saya tidak mampu menanganinya. Saya tolak dengan baik2. Kekadang, tajuknya besar sedang wadah masanya terlalu keci, sehingga tidak mampu saya menyelaraskannya dengan misi dalam hati untuk berdakwah pada diri dan masyarakat. Ya, saya belajar melepaskan…
Banyak juga persoalan, masalah peribadi yang diajukan oleh pembaca, belum mampu saya jawabkan. Tetapi percayalah, sebaik sahaja saya membacanya saya akan berdoa untuk dri saya dan insan-insan yang dilanda ujian itu. Kita sama-sama diuji… 

Maka terbayanglah dalam ruangan fikiran saya, bagaimana ulama-ulama, ustaz-ustaz, para pendakwah yang jauh lebih tercabar dengan kerja dakwah ini. Tentu ujian mereka lebih hebat. Bukan setakat ulama-ulama silam, malah pendakwah-pendakwah kontemporari kini pun mungkin menhadapi cabaran yang getir… Saya yang bagaikan ‘akar’ di tengah-tengah rotan ini hanya mampu beristighfar dan berdoa, semoga semua itu dorongan untuk mendidik diri.

Maafkan saya, saudara-saudari jika lama tidak memasukkan entri baru, bukan bermakna saya ‘lari’ tetapi kononnya berundur seketika ke belakang, ambil lajak untuk melompat lebih tinggi dan jauh. Apapun seperti yang saya pesan selalu, kita tidak akan mengalah dalam mujahadah. Kerana jika tidak susah-susah dalam melalui jalan kebenaran, kita tetap akan disusah-susahkan juga tetapi di jalan kebatilan. Lebih baik kita susah di jalan Allah, daripada susah di jalan nafsu dan syaitan.
Pada bulan Rabiulawwal ini izinkan saya menukilkan : Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W...

Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. Insya-Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumah tangga. Ribut dalam cawan rumah tangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia.

Perkara yang pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksu, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka!

Setiap lelaki pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan,  kabinet atau negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan.

Oleh kerana itu tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki rumah tangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumah tangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam masyarakat Arab di Makkah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar ke seluruh semesta.

Justeru, sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam rumah tangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.”

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah  menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.

Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu!

Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya  dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan,  ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?

Sekiranya terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para saabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan menyembelih korban…

Mata baginda bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatah pun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang.

Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah.

Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang.

Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan  yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu!
Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.

Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.

Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”

Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya.

Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya  dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Jika kita ingin menjadi suami… contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama  tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya.

Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w.

Jangan jadikan Takdir sebagai Kambing HITAM...

Sering kita terdengar orang yang selalu gagal dalam mencapai kejayaan hidup  berkata, ” Ini sudah takdir saya, dan saya harus ikhlas menerimanya.”
Benarkah orang tersebut gagal kerana memang dia sudah ditakdirkan hidup sebagai seorang loser?
Ketika ada yang tidak lulus peperiksaan, apakah memang takdirnya ? atau dia yang tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh?
 Ketika ada bisnesman yang jatuh bangkrap, apakah itu sudah takdirnya ? ataukan dia yang kurang kreatif dan inovatif sehingga perniagaannya kalah bersaing dengan bisnes pesaingnya?
Ketika ada selebriti yang sudah beberapa kali mengalami kegagalan dalam membina kehidupan  rumah tangga, apakah itu kerana takdir yang harus dilaluinya ataukah kerana selebriti tersebut tidak memiliki tekad dan komitmen yang tinggi untuk mempertahankan keutuhan keluarganya?
 Tulisan ini tidak bermaksud memanipulasi pengertian takdir sebagai suatu bentuk keimanan kepada Tuhan. Akan tetapi lebih kepada Takdir jangan selalu dijadikan alasan atas kesalahan kita dalam menghadapi pasang surutnya kehidupan. Hidup akan terus berjalan “Live is go on”. Masalah adalah bagaimana kita menghadapi setiap permasalahan hidup yang muncul dan tetap muncul sebagai pemenang.
 Untuk menjadi pemenang kita wajib memiliki mental sebagai pemenang atau juara
 Seorang pemenang akan selalu optimistik dan penuh harapan menatap masa depan meskipun harus mendaki bukit yang tinggi dan lembah yang curam. Seorang pemenang melihat setiap  masalah  sebagai suatu tentangan untuk dipecahkan dan bukan untuk dihindari.
 Takdir adalah ukuran. Takdir adalah hukum Tuhan yang diberlakukan untuk kehidupan manusia dan alam raya. Kata takdir (taqdir) berasal dari kata “qaddara” berasal dari akar kata “qadara” yang  bererti mengukur, memberi kadar atau ukuran.
 Jika kita berkata, ʺAllah telah menakdirkan demikian,ʺ maka itu bererti, ʺAllah telah memberi kadar, ukuran, atau batas tertentu dalam diri, sifat, atau kemampuan  makhluk‐Nya”.
 Kalau kita melihat dalam kehidupan seharian,  yang menjadi masalah bukan bagaimana takdir itu difahami atau diertikan. Ini sepertinya sudah “muttafaqun alaih” atau sudah kita sepakati bersama.
 Oleh itu, apa yang menjadi masalah?
 Yang menjadi masalah adalah bagaimana orang memahami posisi dirinya dalam takdir Tuhan. Bagaimana orang meletakkan dirinya dalam lingkaran takdir tuhan itulah yang membezakan dia dengan orang lain. Ini terjadi ketika kita membawa konsep takdir ini untuk menjelaskan nasib kita. Nasib di sini berkait dengan warna‐warninya keadaan diri kita, misalnya: berjaya‐gagal, sengsara‐bahagia, maju‐mundur, menang‐kalah, dan seterusnya.
Harapan akan membangunkan mimpi seseorang, dengan harapan seseorang dapat melihat dunia dengan segala keindahannya, mensyukuri keberadaan dirinya dan merasa mampu untuk tetap bertahan.
 Seorang penyair menyatakan bahawa harapan itu seperti sayap burung yang mampu membawa terbang dirinya ke alam bebas untuk  merasakan hidup yang sebenarnya
 Berbeza dengan orang-orang yang tidak mempunyai harapan, mereka akan cenderung berputus asa. Melihat dunia dari kegelapan, merasakan bahawa keberadaanya tak ada gunanya lagi sehingga banyak juga orang yang berputus asa akhirnya menyakiti diri mereka sendiri bahkan ada yang sanggup untuk mengakhiri  hidupnya sendiri, dan pada akhirnya  Takdir yang dijadikan kambing hitam atas kemalangan hidupnya.
Dengan menyedari bahawa Takdir adalah suatu ketentuan dari Allah SWT, namun tetap merupakan akiat atas segala tindakan yang telah kita ambil, maka kita akan meletakkan usaha atau ikhtiar sebagai jalan keluar atas segala permasalahan kita, dengan tentunya tetap bersandar pada kekuatan yang jauh lebih besar dari kita, iaitu kekuatan Sang Maha Pencipta.
Untuk itu doa tetap kita mohonkan agar usaha dan langkah yang kita ambil tidak hanya baik dan sesuai dengan keinginan kita, tetapi juga sesuai dengan kehendak-NYA sebagai pemilik dan penguasa alam semesta ini.

Secebis kisah orang Berilmu... By Gentarasa

Sungguh saya terkesima dengan kesederhanaannya. Pengajarannya sungguh bersahaja tetapi berwibawa. Dalam kuliah selepas Subuh itu, dia merujuk kepada kitab kuning – Muniyatul Musolli, karangkan Syeikh Daud Al Fatani. Dia bukan ustaz yang popular, pun bukan ilmuwan selebriti yang sering muncul di kaca TV. Dia hanya imam biasa, bergamis dan berserban seadanya. Namun dia punya suara yang merdu dan bacaan qiraat yang sangat mantap. Rela mengajar, walaupun dengan bilangan murid yang paling minima!

Saya masih ingat analoginya, “lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu…”
Dia menyambung, “maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa yang berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah, Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat.”
  
Benarlah, seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan belajar tepat seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.
Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina dari kelas bawahan!
Bergaullah dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan kerendahan hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan kini kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut. Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya, ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama mereka mewarisi ‘hati’ para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al Quran. Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al Hadis… Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.
Sering kali mereka menjawab ‘wallahuaklam’ pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti manusia serba tahu. Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi ‘pendengar’ ketika selalu berperanan sebagai ‘penutur’ tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan memandai-mandai.
Sesungguhnya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam diri menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.
Guru yang mengajar kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki motosikal… tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di situ ada senyuman!