Thursday, June 2, 2011

Pengemis yg sedar diri...

AKU JUGA PENGEMIS.

Engkau pengemis berjalan kaki.
Engkau pula pengemis berakit.
Engkau pengemis makan gaji.
Engkau pengemis mencari ringgit.

Engkau pengemis berkereta besar.
Engkau pula pengemis berhaji.
Engkau pengemis berumah besar.
Engkau pengemis berjawatan tinggi.

Aku juga pengemis.
engkau juga pengemis,
kita semuanya pengemis.


Aku ego,
engkau juga ego,
kita semuanya ego.

Bisakah engkau makan nasi,
padi ditanam, dibajak sendiri,
beras dikisar, dimasak sendiri.

Bisakah engkau makan kari,
ikan ditangkap, dibersihkan sendiri,
kari dimasak, diusahakan sendiri.

Aku sangat lemah,
engkau juga lemah,
kita semuanya lemah.

Tiada siapa berdikari.
semuanya perlu dibantui,
mustahil tiada ditolongi.

Sebiji beras dinikmati.
dari mana didatangi,
siapakah bawa ke mari.

Fahamkah ar.Rahman dan ar.Rahim,
fahamkah maliki yaumiddiin,
fahamkah jalan yang mustaqiim.

Wahai pelupa, An.Naas.
Hanya seorang hamba.
Hanya seorang pengemis.
Di dunia musafir kelana.

Siapakah aku,
siapakah engkau,
siapakah mereka.

Aku hanya seorang hamba,
engkau juga seorang hamba,
mereka juga seorang hamba,
kita semuanya adalah hamba.

Marilah sedarkan diri,
marilah muhasabah diri,
pada diriku, kuingati,
pada dirikau, kau jagai.

Kita semua ingat-mengingati.
Supaya hidup kita diberkati.


Sekian. Wassalam

Wednesday, June 1, 2011

Jangan bersedih Allah swt ada di sisi kita...

“Tampakkan sifat-sifatmu nescaya Dia akan membantumu dengan sifat-sifat-Nya. Tampakkan kehinaanmu nescaya Dia membantu dengan Kemuliaan-Nya. Tampakkan kelemahanmu nescaya Dia membantu dengan Kekuasaan-Nya. Tampakkan ketidakberdayaanmu nescaya Dia membantu dengan Daya dan Kekuatan-Nya.”

Ketika secara zahir Allah menjadikanmu taat melaksanakan perintah dan secara batin menganugerahkan sikap pasrah kepada-Nya, beerti Dia telah melimpahkan nikmat yang amat besar padamu. Sungguh rahsia-rahsia Allah itu Maha Seni sehingga terkadang engkau tidak menghargainya lantaran kaburnya mata hati.

Tunjukkan kemurahan kepada saudara-saudaramu. Biasakan dirimu memberi dan mengasihi. Memberi secara langsung adalah mengeluarkan harta dan menyerahkannya kepada mereka. Sementara, memberi secara tidak langsung adalah menunjukkan perhatian. Jangan bakhil dan menahan apapun yang mampu kau berikan kepada mereka. Kerana keramahan, kemurahan dan kelapangan merupakan inti perjalanan. Siapa saja yang menjaga sifat-sifat itu dalam hidupnya, nescaya seluruh rintangan yang menghalangi dan mengotori mata hati akan sirna.

Berikan khabar gembira kepada malam bahawa fajar akan tiba; mulai dari puncak pergunungan hingga ke lembah-lembah. Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman bahawa jalan keluar akan segera datang secepat cahaya dan sekejap mata.

Allah tidak pernah mensia-siakan kita, hanya kita yang mensia-siakan peluang dan masa yang Allah berikan pada kita. Istighfar.

Dia yang memiliki Allah, memiliki segala-galanya.

Aku tertipu...

Siapa dia? Siapa diri ini?
Tatkala ku menghadap sebuah cermin
Tampak sesosok tubuh
Yang sangat lama kukenal
Dan sangat sering kulihat

Namun aneh
Aku semacam belum mengenal
Siapa yang kulihat itu??


Siapakah dia itu?
Tatkala kutatap wajahnya
Hatiku bertanya
Apakah wajah itu wajah yang kelak akan bercahaya
Bersinar indah di syurga sana?
Ataukah wajah itu yang akan hangus legam di neraka Jahannam?

Tatkala kutatap mata
Lubuk hatiku berbisik bertanya
Mata itukah yang akan menatap
Allah Robbul ‘Alamin
Rasulullah Habibullah
Para sahabat Radhiallahuajm’in
Menatap dengan penuh kenikmatan dan kerinduan?
Ataukah mata ini yang akan terbeliak
Melotot, menganga terburai menatap neraka jahanam
Siksaan yang amat dahsyat?

Apakah mata yang tak terlepas melihat maksiat ini
Akan terselamat dari ahzab di sana nanti?


Wahai mata…
Apakah yang tatap dan lihat selama engkau hidup di muka bumi ini?

Tatkala kutatap mulut
Apakah mulut itu
Yang kelak akan berkumit-kumit penuh keyakinan
Mengucapkan Laailaaha Illallah
Di saat malaikat maut datang menjemput?

Ataukah menjadi mulut menganga
Dengan lidah Terjulur
Dengan jeritan bingit memekik
Bergetar menakutkan setiap pendengar yang ada
Di saat sakaratul maut datang menjelma…

Ataukah mulut itu menjadi pemakan buah zaqqum Jahanam
Yang amat dahsyat
Menjadi pembakar, penghangus kerongkong dan usus

Wahai mulut yang malang
Apakah perkara yang engkau ucapkan
Tipu daya, perkataan dusta, umpat caci, carut mencarut?

Berapa banyak dusta yang engkau ucapkan?
Berapa banyak hati-hati yang remuk hancur luluh
Dengan pisau kata-katamu yang menghiris tajam?

Berapa banyak kata-kata manis semanis madu yang palsu
Yang engkau ucapkan untuk menipu

Wahai mulut yang malang
Sedarkah engkau
Betapa engkau jarang sekali
Menyebut memuji nama Tuhanmu dengan tulus
Betapa jarangnya engkau
Dengan syahdu dan ikhlas
Bermohon agar tuhanmu mengampuni mu

Tatkla kutatap tubuh
Apakah tubuh itu yang kelak akan penuh cahaya
Bersinar, bersukacita, bercengkerama di syurga?

Atau tubuh itu yang akan tercabi-cabik hancur
Mendidih di dalam lahar membara jahannam
Kemudian bercantum semula
Menanggung derita yang tak akan pernah berakhir

Wahai tubuh
Berapa banyak maksiat yang telah engkau lakukan
Berapa banyak orang yang telah engkau khinati dan zalimi
Berapa banyak hamba Allah yang lemah
Yang telah engkau tindas dengan kekuatanmu
Berapa banyak orang datang meminta pertolongan
Tapi engkau buat acuh tak acuh tanpa peduli
Padahal engkau mampu menolong
Berapa banyak pula hak-hak orang lain yang engkau rampas?

Ketika kutatap mu wahai tubuh
Seperti juga ku renung akan isi hatimu
Apakah isi hatimu sebagus kata-katamu?
Atau sebagus daki-daki yang melekat ditubuhmu?

Apakah hatimu segagah ototmu?
Atau ia selemah daun-daun yang mudah layu berguguran

Apakah hatimu seindah penampilanmu?
Ataukah sebusuk kotoran pada pakaianmu?

Apa yang terzahir nampak dicermin
Dengan apa yang tersembunyi
Betapa ianya berbeza…

Apa yang terzahir nampak dicermin
Dengan apa yang tersembunyi
Betapa aku telah tertipu
Aku tertipu oleh topeng itu

Betapa yang kulihat selama ini hanyalah topeng
Hanyalah topeng yang menipu belaka
Betapa pujian yang terhambur hanyalah memuji topeng yang ada
Betapa semua yang indah itu
Hanyalah topeng yang menipu

Sedangkan aku…..
Hanyalah selonggok sampah busuk yang terbungkus

Aku tertipu…
Aku malu ya Allah…..

Jom istiqarah

JUMAT, 28 JANUARI 2011

Ingin Buat Keputusan? Istikharahlah Dulu
Bila sebut istikharah, terbayang dalam kepala kita yang solat ini dilakukan untuk memilih siapakah bakal pasangan hidup. Saya sendiri dulu beranggapan begini tapi alhamdulillah, sekarang dah 'cerdik' sikit sebab selalu membaca dan bertanya :)

Sebenarnya, solat istikharah dilakukan tidak semestinya untuk mendapat jodoh yang baik semata-mata. Skop solat istikharah ini lebih luas daripada itu, malah Nabi Muhammad S.A.W sendiri menggalakkan umatnya untuk melakukan solat istikharah dalam apa jua urusan kehidupan kerana hampir semua urusan kehidupan kita memerlukan kita membuat keputusan. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang maksudnya:

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”

Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan dan kisah ini merupakan sebuah kisah benar:

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

(maaf, kisah ini pun ada kaitan dengan jodoh juga :) )

Jadi, jika ada satu-satu perkara yang memerlukan kita membuat keputusan ataupun pilihan, jom kita beristikharah ;)

Niat Solat Istikharah:



Sengaja aku mengerjakan sembahyang istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala

Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca. Dalam rakaat kedua pula, selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

Selepas memberi salam, baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu):



“Ya Allah, saya memohonkan pilihan menurut pengetahuanMu dan memohonkan penetapan dengan kesuasaanMu juga saya memohonkan kurniaMu yang besar, sebab sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan saya tidak mengetahui apa-apa. Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jikalau di dalam ilmuMu bahawa urusan saya ini……..baik untukku dalam agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, maka takdirkanlah untukku dan mudahkanlah serta berikanlah berkah kepadaku di dalamnya. Sebaliknya jikala di dalam ilmumu bahawa urusan ini buruk untukku, dalam agamaku, kehidupan serta akibat urusanku, maka jauhkanlah hal itu daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya serta takdirkanlah untukku yang baik-baik saja dimana saja adanya, kemudian puaskanlah hatiku dengan takdirMu itu.”

Waktu terbaik untuk melakukan solat istikharah ialah pada 2/3 malam. Walau bagaimanapun, solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja (dengan syarat bukan dalam waktu yang dilarang solat).

Semoga kita semua dapat beramal dengan apa yang kita baca ini...

Kawan vs cinta

Berkawan Biar Berpada-Pada, Bercinta Biar Beribu
Selalu kita dengar pepatah Melayu menyebut berkawan biar seribu, bercinta biar satu. Tapi mungkin pepatah ini tak begitu sesuai lagi dengan keadaan sekarang. Sekarang zaman kawan makan kawan. Ada kes jenayah yang berlaku (termasuk rogol) adalah dilakukan oleh kawan rapat kepada mangsa. Bukan sikit, malahan terlalu banyak.



Jadi, berpada-padalah bila berkawan, jangan sampai kita mudah terikut-ikut dengan kawan terutamanya yang mengajak kita melakukan perkara yang tak elok.

Janganlah bila kawan masuk lubang biawak pun, kita turut sama terjerumus

Cinta kita pula biarlah beribu. Cinta kepada agama, kepada kebaikan, kepada keluarga dan cinta kepada kawan (dalam konteks bersahabat). Kita perlu berpegang kepada prinsip, untuk menyebabkan orang mencintai kita, terlebih dahulu kita perlu cinta kepada orang lain.

Tuesday, May 31, 2011

Jangan kedekut

Makin Banyak Yang Kita Beri, Makin Banyak Yang Kita Dapat
Logiknya, makin banyak yang kita berikan pada orang lain, contohnya harta, makin sikitlah yang tinggal untuk kita. Tapi logik ini tidak benar sama sekali kerana terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa makin banyak yang kita berikan pada orang lain, makin banyak pula yang akan kita dapat.

Sebagai contoh, dalam sejarah Islam terdapat satu kisah bilamana isteri seorang sahabat Nabi S.A.W mengidam untuk makan buah delima. Lalu berjalanlah si suami untuk membeli buah delima yang diidamkan. Setelah membeli sebiji buah delima, sahabat nabi ini terus pulang. Dalam perjalanan pulang, sahabat nabi ini terserempak dengan seorang pengemis. Kerana kesian melihat keadaan pengemis itu, sahabat nabi ini membahagikan buah delima itu kepada dua, sebahagian diberi kepada pengemis tersebut dan satu bahagian lagi untuk isterinya.

Sebelum sampai ke rumahnya, beliau terserempak dengan pengemis yang lain pula. Akhirnya, semua bahagian buah delima telah habis kerana diberikan kepada pengemis yang dijumpainya. Sahabat nabi ini berjalan pulang dengan tangan kosong. Sebaik sampai di rumah, beliau melihat terdapat 10 biji buah delima dirumahnya dan kemudiannya beliau mendapat tahu bahawa berkat kemurahan hatinya, beliau mendapat sesuatu yang lebih baik (1 buah delima diberikan kepada pengemis, dapat 10 buah delima sebagai balasan).

Satu lagi contoh ialah syarikat Google. Cuba kita perhatikan, kebanyakan servis terbaik yang kita dapat daripada internet (secara percuma) adalah servis yang diberikan oleh Google. Dari enjian carian hinggalah platform blog, semuanya kita dapat tanpa bayaran. Malah Google sentiasa cuba memperbaik servis yang ditawarkan oleh mereka. Sekarang, Google adalah antara syarikat yang paling kaya di dunia kerana banyak 'memberi'.

Jadi, untuk dapat banyak kita perlulah lebih banyak memberi. Lihat pada padi, kita berikan ataupun korbankan sebutir padi untuk ditanam, apa yang kita dapat kemudiannya adalah tangkai yang berisi dengan ratusan butir padi :)
Belajar Walaupun Daripada Ranting Kayu

Satu ketika, seorang lelaki terserempak dengan seorang kanak-kanak yang sedang menangis. Dalam keadaan hairan, lelaki itu bertanya kepada kanak-kanak tersebut,

Kenapa kamu menangis wahai anak kecil?

Kanak-kanak itu lantas menjawab,

Saya menangis kerana takutkan azab api neraka..

Kerana kasihan melihat keadaan kanak-kanak tersebut, lelaki itu berkata,

Janganlah kamu risau wahai anak kecil, kamu masih kecil dan tidak mempunyai dosa. Mana mungkin kamu akan dimasukkan ke dalam neraka..

Kanak-kanak itu terus menangis, kemudian dia berkata,

Kerana aku masih kecillah aku menangis..kerana aku bimbang, akulah yang terlebih dahulu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Kehairanan, lelaki itu bertanya lagi,

Kenapa sedemikian wahai anak kecil?

Anak kecil itu lalu menjawab,

Aku selalu melihat, apabila bapaku ingin menghidupkan unggun api untuk membakar sesuatu, bapaku akan memasukkan ranting-ranting yang kecil itu terlebih dahulu sebelum memasukkan kayu api..aku bimbang jika aku nanti seperti ranting-ranting kayu yang kecil itu, dimasukkan terlebih dahulu ke dalam neraka

Lelaki itu terdiam kekaguman dan terfikir akan kata-kata kanak-kanak tersebut. Walaupun kanak-kanak itu masih kecil, namun dia cuba menghayati dan belajar daripada seremeh-remeh perkara iaitu ranting kayu yang kecil...