Friday, February 15, 2013

UJIAN

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…

Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.

Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.

Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.

Thursday, January 24, 2013

Hanya Dengan Mendengar... By Gentarasa...

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.

Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.”

Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.

Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain.

Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?

Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!

Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.

Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya bila-bila masa sahaja.

Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak. Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…

Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!

Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.

Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!

Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.

Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.

Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…

Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.

Sunday, December 23, 2012

Lebah vs Lalat

MATA LEBAH
Mata lebah.. Jadilah kita seperti mata lebah, cuma melihat dan memilih yang baik-baik. Walaupun lalu di tempat pembuangan sampah atau tempat yang kotor dia tetap mencari yang baik dan cantik. Maka, janganlah kita cepat sangat memberi label. Cari dan kaji pasti ada kebaikan dalam setiap kejadian. Oleh kerana itu apa yang dihasilkan lebah adalah ubat segala penyakit kerana bijak memilih. Berfikir secara positif, mengambil tindakan secara positif maka hasilnya juga positif. sekali lebah sengat kita, boleh membawa maut mata lebah jugak memberi hasil yang baik dan manis.. iaitu..MADU.


MATA LALAT
Mata seperti ini cuma melihat yang buruk dan busuk sahaja. Yang baik dan wangi adalah musuh utamanya. Bangkai dan tempat tempat kotor adalah tempat tinggal yang sungguh selesa bagi mereka. Cuba fikirkan, lebah kalau hinggap pada bunga menghasilkan madu. Lalat kalau hinggap pada makanan..dia tinggalkan najis ataupun pun lebih sinonim kita sebut “kentut lalat” atau “telur lalat”. Bila termakan makanan yang dihinggapi lalat kita boleh sakit. Ini yang dikatakan bila suka melihat sesuatu yang negatif tindakan kita juga negatif dan hasil yang kita dapat juga negatif.
Renungilah bait-bait ini bersama :
“Janganlah kamu dedahkan kejahatan orang lain selama mereka itu menyembunyikannya, nanti Allah akan mendedahkan kesalahan kamu pula kepada orang lain.
Dan kamu hendaklah menyebut tentang kabaikan yang ada pada saudara kamu,apabila disebutkan kebaikannya dan jangan kamu mengaibkan seseorang dengan apa yang ada padanya, nanti akan terjatuh pada kamu juga”


http://hafizamri.com/contohilah-mata-lebah-jauhilah-mata-lalat/

UMAT YANG KEHILANGAN JENAMA... ISN, 16 APR 2012 11:59 DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


Sering kali apabila bersolat di al-Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi s.a.w, perasaan saya tersentuh, penuh rasa kagum kepada umat ini. Apa tidak, ratusan ribu, bahkan jutaan manusia datang dari pelbagai negara dan bangsa, latar pendidikan dan budaya yang berbeza, tidak mengenali antara satu sama lain namun tetap mampu untuk membentuk saf-saf salat yang penuh teratur. Tidak pernah sama sekali sebelum itu mereka melakukan apa-apa rehearsal membentuk saf untuk jumlah yang demikian besar, melainkan practise solat berjemaah di negara masing-masing.

Namun, apabila sahaja iqamah dilaungkan, jutaan manusia pelbagai bangsa, pelbagai latarbudaya, pelbagai gaya, pelbagai negara bangun berdiri mengambil tempat dalam saf-saf solat dengan penuh disiplin. Tiada siapa berhak bertanya apakah awak layak berada di sebelah saya ataupun tidak? Tiada siapa berhak menghalau orang lain keluar dari safnya tanpa sebab yang diizinkan syarak. Tiada saf khas untuk golongan bangsawan yang diharamkan golongan bawahan berada sebaris dengan mereka. Betapa agama ini telah menghimpunkan dan mendisiplinkan manusia.

Demikianlah ibadah-ibadah lain dalam Islam ini. Haji, perlambangan keserataan manusia. Tiada hak sesiapa menghalang orang lain bertawaf kerana orang bangsawan ingin bertawaf.

Tiada siapa yang berbeza dalam beribadah kepada Allah. Tiada raja ataupun sultan yang boleh menyeru Allah dengan kesombongan diri atau bahasa yang berbeza kerana dia raja atau presiden ataupun sultan. Maha Suci Allah dari membezakan hamba-hambaNYA disebabkan kedudukan dunia mereka. Bahkan, Allah menerima mana-mana doa yang penuh kerendahan jiwa dan menolak doa yang dilafazkan dengan kesombongan diri.

Demikian puasa, zakat dan pelbagai ibadah lain dalam Islam jika dihayati banyak nilai-nilai mulia dalam kehidupan individu dan masyarakat muslim dapat dibina. Bab taharah ataupun kebersihan dan penyucian diri, pakaian dan tempat ibadah mempunyai banyak nilai yang Islam didik penganutnya.

Namun, malang sekali negara-negara orang muslim itu kebanyakannya kotor. Ambil sahaja Kaherah yang orang Islam bangga kerana adanya University al-Azhar. Ia dianggap sebagai kota ilmu oleh sesetengah pihak. Namun, Kaherah juga merupakan kota sampah-sarap. Kekotaran seakan menjadi budaya. Tiada disiplin dalam hidup bermasyarakat. Rasuah dan salah guna kedudukan bermula dari tukang sapu sampah sehingga ke presiden negara.

Jalanraya tiada peraturan. Bunyi hon kereta rukun wajib dalam memandu. Sehingga saya pernah bergurau: "Orang Mesir, boleh pandu kereta tanpa tayar tetap tidak boleh pandu kereta tanpa hon". Asap dan bau busuk adalah aroma kehidupan mereka.

Di manakah perginya golongan agama dan ilmuwan kota itu?! Di mana perginya segala perbahasan ilmu yang dilaung-laungkan itu?!! Apakah pula disiplin dan nilai baik yang manusia dapat kutip dari mereka?

Dua minggu lepas saya berada di Irbid, Jordan. Bandar yang mengelilingi University Yarmouk. Malang sekali, sampah sarap bagaikan bunga-bunga yang menghiasi bandar itu. Menyedihkan. Saya bukan ingin memuji Oxford berlebihan kerana saya berada di sini sekarang. Namun ini suatu realiti. Bandar ilmu ini bersih. Sukar sama sekali mendengar hon kenderaan. Juga tiada pencemaran asap bas ataupun kenderaan biasa. Orang tahu menggunakan tong sampah, bahkan tahu membezakan jenis sampah.

Gereja memang banyak di bandar ini, namun ia tidak semakmur masjid-masjid di tempat kita. Bahkan kebanyakan mereka tidak percayakan agama, sekalipun mereka percaya wujudnya Tuhan. Saya percaya nilai-nilai baik itu tiada kaitan dengan agama, tetapi kejayaan pendidikan yang mantap dan berkesan. Sehingga nilai-nilai baik menjadi budaya. Sementara kita, golongan agama ramai yang sibuk dengan teori itu dan ini, ataupun sibuk mengisi dan menggemukkan poket masing-masing melebihi usaha mendidik dan membentuk umat yang berkualiti. Sibuk menghukum orang lain sehingga terlupa mengemaskan diri, rumah dan negara sendiri.

Umat Contoh

Kita membaca firman Allah:
"Demikian Kami jadikan kamu umat yang wasat supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan al-Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu" (Surah al-Baqarah: 143).

Perkataan 'wasata' yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud pertengahan (moderation). Ayat ini dibahaskan oleh para mufassirin dengan pelbagai tafsiran yang kesemua memberi makna umat Islam ini dijadikan Allah sebagai umat yang adil, mulia dan contoh kepada umat lain. Al-Syinqiti dalam Adwa al-Bayan menafsirkannya sebagai umat pilihan dan adil.Demikian juga Ibn 'Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir memberikan tafsiran yang hampir sama.

Dalam edisi English Taisirur Rahman ditafsirkan: "a nation which profoundly great and most superior". Persoalannya, di manakah ini semua pada hari ini. Ya, umat ini telah membuat sejarah pada masa lalu, tetapi apakah realiti hari ini?


Kita mengutuk ataupun mengkritik Barat tetapi kita jangan lupa bahawa banyak nilai yang baik Barat telah bina untuk kehidupan mereka. Di samping perkara-perkara yang kita tidak setuju tentang mereka, mereka mempunyai banyak perkara positif yang kita gagal dalam kehidupan kita. Ambil sahaja soal hak rakyat dalam mempersoalkan sesiapa yang menyalahgunakan harta awam dan taxpayer's money, mereka miliki hak itu. Surat khabar dan media mereka berhak mempertikaikan baju, cuti dan segala perbelanjaan yang digunakan oleh HM Queen dan istananya. Tiada sebarang hukuman kerana itu.

Belanja Queen dan istana dibentangkan kepada rakyat jelata. Mereka berhak mempersoalkannya. Jadilah mereka bangsa yang bermaruah dalam soal tersebut. Kita tahu pada tahun ini Kerajaan British menolak untuk HM Queen Elizabeth membeli kapal persiaran. Padahal Queen telah 60 tahun berkhidmat.

Jurucakap PM David Cameron, Steve Field menyebut: "I don't think anyone is suggesting public money should be used for this. There is a difficult economic situation, there are scarce public resources, therefore we don't think it would be an appropriate use of public money".

Inilah sikap rakyat yang merdeka dari menjadi hamba penguasa. Malang sekali di dunia muslim; presiden, sultan dan raja boleh menggunakan harta awam tanpa dipersoalkan. Lebih buruk lagi, rakyat yang mempersoalkan itu pula yang dianggap bersalah dan derhaka, sedangkan si penguasa dan raja yang menggunakan harta negara dan awam disanjung mulia. Harta dan belanja mereka tidak dibentangkan kepada awam. Istana, kereta, komisyen projek itu dan ini didiamkan sahaja. Inilah dunia muslim.

Laungan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) hanya di corong pembesar suara, tapi dalam kehidupan rakyat, penguasa juga yang maha besar. Inilah rakyat yang diperhambakan dan tidak merdeka. Bagaimana mungkin rakyat yang seperti ini menjadi umat contoh kepada agama lain? Ini bukanlah ciri wasatiyyah yang dimaksudkan oleh al-Quran. Sama sekali tidak!

Sebab itu, walaupun 'Arab Spring' mempunyai kesan negatifnya, tetapi positifnya lebih banyak. Sekurang-kurang umat Islam tidak dilihat menjadi hamba golongan regim dan pemerintah yang zalim lagi korupsi, yang memeras harta dan darah, sedangkan umat ini berdiam saja. Ini mesti dihentikan! Sekurang-kurang dibuktikan pada dunia, umat ini masih hidup!

Saya teringat kisah Khalifah Umar bin al-Khattab yang disebut oleh Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam I'lam al-Muwaqi'in bagaimana satu hari beliau bangun berucap di hadapan rakyatnya sambil berkata:

"Hendaklah kamu dengar dan taat!". Tiba-tiba sahabat Nabi s.a.w yang lain, iaitu Salman al-Farisi bangun dan berkata: "Kami tidak mahu dengar". Umar pun bertanya: "Mengapa wahai Salman?". Jawab Salman: "Engkau membahagikan kepada rakyat pakaian seorang sehelai, sedangkan engkau mengambil sebanyak dua helai". Jawab Umar: "Sabar wahai Salman!. Lalu Umar berkata kepada anaknya: "Wahai Abdullah (bin 'Umar), beritahulah dia bahawa pakaian yang aku pakai ini adalah bahagian engkau yang engkau berikan kepadaku". Jawab Abdullah bin 'Umar: "Ya, demi Allah". Jawab Salman: "Kalau begitu, silakan, kami mendengar (taat)".

Kita perlu mengembalikan jenama kita yang tinggi nilai di mata manusia. Kita umat yang branded pada suatu masa dahulu. Tiada siapa yang wajar membiarkan kemunduran ini. Hanya golongan pengampu ataupun literalist sahaja yang cuba menjustifikasikan kemunduran kita yang gagal menjadi umat contoh. Islam terhijab dalam banyak keadaan disebabkan realiti yang kita alami ini. Kita mesti berubah. Rakyat dan pemerintah mesti bergerak ke arah perubahan. Kembalikan jenama kita. Kita umat yang branded. Kita umatan wasatan.

- Artikel iluvislam.com



Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menulis juga di http://drmaza.com. Sertai juga facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA.

Thursday, August 30, 2012

Kira Pahala @ Dosa...

Selalunya perkataan “kira” atau “kira-kira” tidak dapat lari dengan subjek matematik... Samada kita suka atau tidak subjek ini di sekolah, kita amat perlukan kemahiran ini untuk menjamin perjalanan kewangan kita terutamanya supaya lebih tersusun dan dapat di uruskan dengan baik... Namun sejauhmanakah kita gunakan kemahiran kira-kira kita untuk akaun akhirat?... Satu persoalan yang suka saya lontarkan untuk kita sama-sama fikirkan... Selalunya kalau di letak tajuk “muhasabah” dalam tajuk syarahan atau tulisan, orang akan kata ini mesti ceramah agama... Kalau kita tengok balik, dulu subjek matematik pun di panggil ilmu hisab... Tak kiralah apa orang panggil pun, yang penting kemahiran membuat kira-kira ini memang penting. Bukan sahaja untuk kehidupan dunia, tetapi juga untuk akhirat...

Friday, August 24, 2012

Rezeki

Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.

Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.


MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM

Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?

Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta'ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam. Hakikatnya orang yang ‘memberi' dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian' dan ‘sumbangan' yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad dalam artikel saya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian' dan ‘sumbangan' itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-



1) Ikhlas kerana Allah


2) Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.


Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat' di dalam kehidupan dan harta.


Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, "apa balasannya di dunia"?.

Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-

هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla.

Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.



WHAT YOU GET BACK?

Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?'

Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-

a. Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga

· Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.

· Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.



b. Kesihatan

· Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.

Nabi bersabda :



صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات

Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan)

· Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.

· Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.



c. Harta

· Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.

· Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud', iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.

· Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana'ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.

· Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.

· Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar :



وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)

Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA' sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung' ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.

Ibn Abbas menegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)



d. Sekeliling yang baik

· Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.

· Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:

إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه

Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )



KESIMPULAN

MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat.

Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati' masing-masing.

Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allah ta'ala.

Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya.

Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.

Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.

Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas' dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa' itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya.

Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata :

"Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini...cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah pendapatan"

Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :

لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها

Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu'allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya" ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka

وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan (Al-A'raf : 96 )

PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE'

Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi'en berkata :

من طلب العلم تكفل الله برزقه

Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)

Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :-

لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً

Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.

Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-

يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع

Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang" (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Sekian,



Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Jodoh

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan... Hanya belum sampai masanya... Ia
bagai meniti jambatan untuk ke seberang... Kalau panjang jambatannya
jauhlah perjalanan kita... Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya
singkat... Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat... Dan usia 35
tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk
membina kecemerlangan... Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat sembahyang... Insya-Allah.

Allah Maha Mendengar :)