Ada sebuah kisah berkaitan dengan sikap baik sangka ini.
Seorang gadis yang baru habis bercuti ingin menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Disebabkan sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, dia terlewat dan tidak sempat menaiki bas. Hatinya berasa kesal, gundah, dan marah kerana dia terpaksa membeli tiket lain untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dia tertanya-tanya dalam hatinya, kenapa perkara ini perlu berlaku sedangkan dia mempunyai banyak urusan yang perlu diselesaikan di Kuala Lumpur.
Malam itu, pertanyaan itu berlalu tanpa sebarang jawapan.
Keesokan harinya, dia mendapat berita bahawa bas yang sepatutnya dinaiki semalam terlibat dalam satu nahas jalan raya. Sebahagian besar daripada penumpangnya cedera, malah ada yang maut dalam kejadian tersebut.
Apabila mendengar berita tersebut, barulah si gadis sedar kenapa Allah swt mentakdirkan dia tertinggal bas semalam. Dia sangat syukur. Perasaan gundah dan gelisah bertukar menjadi syukur dalam sekelip mata. Benarlah, setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikannya yang tersendiri.
Sangkaan yang difokuskan dengan bersungguh-sungguh adalah satu doa. Saya yakin bahawa semua orang yang mengaplikasikan Doa & Usaha pasti mendapat apa yang dihajati. Selain itu, Banyak lagi faktor yang mempengaruhi kejayaan kita.
Yakinlah, walaupun Allah swt kadang-kadang tidak mengabulkan sesuatu hajat kita secara terus, Dia pasti akan memberikan apa yang kita perlukan dalam hidup ini. Kita meminta apa yang kita mahu, dan Allah swt memberi apa yang kita perlu...
Mungkin sesuatu hajat kita itu bukan yang terbaik untuk kita, lalu Allah swt mengabulkan kejadian yang sebaliknya yang merupakan keperluan kita yang sebenar. Sebab itulah kita perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah swt, kerana di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan.
“Sesungguhnya di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan.”
(Surah Al-Insyirah, ayat 5)
No comments:
Post a Comment