“MasyaAllah, kamu ni biar betul? Nak bawa orang macam ni masuk bagi ceramah pada ahli kita?”
Suara Jamal memecah kedinginan malam.
“Rambut panjang, pakai rantai, seluar ketat. Akhlak tak tengok lagi. Tak ada orang lain dah ke sampai terdesak sangat? Apa yang dia ada sampai kamu nak bawa dia masuk UIA?”
“Dia orang kita ke?”
Sampuk Abu.
“Confirm lah bukan orang kita kalau macam ni. Kamu ni kenapa sebenarnya?”
Bertalu-talu persoalan dilontar pada Nasir bila ideanya untuk membawa masuk Hamid ke dalam UIA untuk memberikan syarahan awam.
Nasir tetap terdiam.
‘celaka!’ jerit Nasir dalam hati.
“Kamu dah terpengaruh dengan idea dia? Itu lah kamu, kami dah pesan, jangan sibuk-sibuk nak pergi dengar ceramah sana, ceramah situ, nanti jadi apa-apa susah! Tengok sekarang, sibuk nak bawa orang sosialis masuk. Kamu tak takut apa orang kata pada gerakan kita?”
“Ni kamu buat ada kelulusan tak?”
“Tak ada. Saya nak buat secara illegal.” tenang Nasir menjawab.
“ILLEGAL!?” tanya Abu minta kepastian dari Nasir.
“Ya, illegal. Apa guna minta kebenaran, sah-sah tak dapat. Tengok saja di kampus lain. Mudah-mudah kena reject.” Nasir mempertahan diri.
“Kami ni bukan apa Nasir, kami ni risaukan kamu tu. Kamu baru lagi dalam perjuangan ni. Jangan ikut darah muda kamu tu. Kami ni dah nak grad, dah lebih dulu makan garam dari kamu. Kalau jadi apa-apa macam mana? Kalau kena serbu dengan guard, kamu nak buat apa?”
“Saya tahu apa risiko dia, dan saya berani tanggung sendiri. Bukan kah abang-abang juga yang selalu ingatkan saya tentang risiko dalam berjuang? Kalau pergi ke demo abang boleh yakinkan saya supaya jangan takut, kenapa sekarang saya nak buat program, abang takut-takutkan saya?”
“Tapi dia tu SOSIALIS!”
“Apa salahnya kalau dia sosialis? Berdosakah kalau kita dengar idea sosialis? Apa ada dalam mana-mana ayat yang mengatakan ilmu itu datang dari orang Islam saja? Kalau pimpinan boleh terpengaruh dengan pakar motivasi kafir dari Barat, kenapa saya nak dengar orang sosialis bercakap, tak boleh? Apa masalahnya? Adakah dengan mendengar syarahan sosialis, maka saya akan jadi sosialis? Kalau kita yang perjuangkan idea Islam ini selalu merungut tentang sekatan itu sekatan ini, kenapa bila tiba giliran orang, kita juga mahu adakan sekatan?
Bukankah Buya Hamka pernah berpesan bahawa Allah mengurniakan hikmah kepada siapa saja yang dikehendakiNya? Tak ada dalam sejarah tamadun manusia mereka belajar ilmu dari kalangan mereka saja. Bahkan tamadun Islam juga berdiri di atas ilmu yang dikutip dari tamadun-tamadun lain.
Saya mahu bawa Hamid bukan kerana saya nak sosialiskan budak-budak kita, tapi saya mahu meraikan kepelbagaian. Orang sosialis pun nak berjuang juga!
Bukan orang Islam saja yang mahu keadilan. Bukan orang Islam saja yang mahu kebenaran. Orang lain pun mahu juga! Apa salah memberi ruang kepada orang lain untuk berjuang juga? Kalau matlamat kita sama, kenapa mahu berebut?”
“Haih, hebat kamu bercakap. Belajar dari sosialis?” sindir Jamal.
“Kalau betulpun saya belajar dari dia, kenapa? Ada salahkah?” balas Nasir.
“Masalahnya, macam mana kalau idea sesat dia tu mempengaruhi budak-budak lain?”
“Abang tak yakin dengan kekuatan Islam? Sampai abang perlu risau tentang idea lain mempengaruhi budak-budak kita? Kenapa mesti menyekat orang lain kalau idea kita diyakini benar? Lawan idea dengan idea, bukan dengan sekatan!
Kalau dia bawa sosialis, itu hak dia sebagai sosialis. Tugas kita adalah untuk membetul apa yang kita rasa salah. Apa guna kita menyekat idea orang? Kita punya ramai pemidato yang hebat. Bila dia bawa idea sosialis dan hentam idea Islam, apa tak mampu kita membalasnya?
Lihat Syeikh Ahmed Deedat. Bagaimana Almarhum mempertahankan Lailaahaillallah? Dengan debat, bukan? Debat yang terbuka, kerana keyakinan bahawa Islam itu benar!”
“Payah bercakap dengan kamu ni! Kalau jadi apa-apa, tanggung sendiri!” Jamal menamatkan perbincangan mereka.
Bersambung….
REKAAN SEMATA-MATA. TIADA KENA MENGENA DENGAN YANG HIDUP ATAU YANG MATI.
No comments:
Post a Comment