Saturday, April 9, 2011

Berhati-hatilah dalam mengeluarkan Tutur & Kata ...

Bertudung & Ungkapan Hina Hukum?

Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman

“Tak pe ustaz kan, pandangan pertama
tak berdosakan, cuma kami pandang lama
je la ?” tanya seorang pemuda berumur
35 tahun kepada saya sambil tersenyum-
senyum selepas dia merenung wanita
berskirt di hadapannya.

Ia adalah satu perkara yang amat
menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari
sikap sebahagian umat Islam hari ini
mengambil ringan tentang hukum Islam.

Berkenaan larangan melihat kali kedua
kepada aurat ini diriwayat dalam
beberapa buah hadith, antaranya
hadith :

“Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata:
Saya bertanya kepada Rasulullah s. a.
w. tentang melihat (aurat wanita)
secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka
jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu
itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud
dan Tarmizi) – Iaitu, Jangan kamu
ulangi melihat untuk kedua kalinya.

Demikian juga kata Baginda SAW kepada
Ali KW :

Ertinya : “Jangan kamu ikuti satu
pandangan dengan pandangan yang lain,
kerana yang pertama bagimu (
diampunkan) dan tidak bagi yang kedua”
( Riwayat Ahmad, Abu Daud, Albani :
Hasan)

Artis & Lawak Hukum

Lebih teruk lagi terdapat artis
Malaysia yang sanggup menggunakan
lafaz-lafaz Islam seperti ‘MashaAllah’
dan ‘InshaAllah’ serta ‘Allahu Akbar’
dalam lakonan lawak mereka sambil
sengaja disebut dalam bentuk yang
melucukan. Ini amat jelas
memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia
amat kerap dilakukan oleh satu
kumpulan pelawak Malaysia yang
terkenal. Moga mereka diberikan
hidayah oleh Allah SWT.

Demikian juga dengan ucapan
alhamdulillah bagi seorang artis yang
berpakaian separuh bogel dikhalayak
umum apabila berjaya meraih sesuatu
anugerah di media. Atas nama seni
dirasakan tindakannya halal. Pada
hakikatnya jika lakonannya itu penuh
dengan adegan ‘peluk sana sini’
dan ‘dedah sana sini’, maka di ketika
itu ia bukanlah lagi sebuah seni mulia
yang diiktiraf Islam. Ia adalah
seni ‘fasad’ yang berdosa dan tidak
layak diraikan dengan ungkapan mulia
Islam.

Ketika itu, kemenangan mereka di atas
pentas dan melafazkan ucapan
sedemikian adalah satu bentuk
mempermainkan hukum dan lafaz Islam di
tempat yang tidak sewajarnya. Seolah-
olah seorang yang ingin merompak
membaca ‘Bismilah’ ketika memulakan
rompakannya dan
mengucapkan ‘Alhamdulillah’ apabila
berjaya terlepas dari kejaran polis,
atau menyebut ‘Alhamdulillah’ di dalam
tandas, atau seperti seorang peminum
arak mengucapkan “alhamdulillah”
apabila menyelesaikan minumannya.

Menurut kaedahnya, semua ini
menambahkan lagi dosa si pelaku
terbabit disebabkan wujud unsur
penghinaan samada secara langsung atau
tidak langsung kepada hukum serta
lafaz mulia Islam. Walaupun mereka
tidak langsung berniat untuk menghina
lafaz mulia itu.

Apabila ia adalah sebuah hukum atau
ucapan zikrullah, maka adalah tidak
harus sama sekali sesiapa juga
mempermainkan atau menyebutnya di
tempat yang tidak sewajarnya. Nabi SAW
bersabda :-

Ertinya : ” Sesungguhnya seorang hamba
yang bercakap sesuatu kalimah atau
ayat tanpa mengetahui implikasi dan
hukum percakapannya, maka kalimah itu
boleh mencampakkannya di dalam Neraka
sejauh antara timur dan barat” (
Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari,
Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)

Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan
bahawa erti hadith ini adalah seorang
yang bercakap tanpa jelas maksud
ayatnya sehingga menjadikan ia boleh
membawa maksud yang pelbagai sehingga
sebahagiannya boleh mencarikkan
sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)

Hina Islam, Bertudung & Bermaksiat
Lebih Besar Dosa

“Amat memalukan la ustaz, saya baru
jumpa satu video yang tunjukkan
pasangan melayu ditangkap di tasik-
tasik dan tempat awam tengah
bercumbuan, apa pandangan ustaz,
hampir 95 % darinya bertudung jenis
tak sempurna tu ustaz, ustaz tau tak?”
tanya seorang pendengar kuliah saya
sejurus selepas kuliah saya berkenaan
aurat.

Kemudian selang beberapa hari, pemuda
ini menghantar email kepada saya
beserta satu petikan video yang
dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata
Illa Billah.. wa Inna lillahi wa inna
ilaihi rajiun.. memang amat
mendukacitakan.

Pemuda itu juga menulis
seperti ‘kepeningan’ dan ‘kebingungan’
dengan persekitaran ini dengan katanya

“Boleh tak agaknya saya buat
kesimpulan bahawa hampir semua wanita
yang bertudung pendek atau fesyen,
dengan kain belah atau baju sempit
atau baju kurung biasa, semua ni jenis
yang ‘murah’ dan boleh diajak seks
bebas dengan mudah hari ni, apa
pandangan ustaz?” Mengurut dada saya
mendengar kesimpulan pemuda berpakaian
kemas dan bekerjaya profesional ini.
Sudah tentu amat marah para wanita
dengan kesimpulan si pemuda ini.

“Saya hanya masih percaya dengan
wanita yang berjubah dan bertudung
labuh sahaja sekarang ini ustaz,
harapnya mereka dapat pertahan maruah
dan kesucian mereka serta tak jadi
macam si pemakai tudung pendek yang
terbukti tiada banyak beza dengan free
hair” katanya lagi dengan tegas.

Selepas pemuda ini mengutarakan
pendiriannya barulah saya memberikan
penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun
saya belum berhasrat menyebutnya di
ruangan ini, cukuplah saya dedahkan
betapa kecewanya pemuda profesional
ini dengan apa yang berlaku di hadapan
matanya.

Kesimpulannya, wahai wanita bertudung
kembalikan maruah anda dengan tutupan
aurat yang sebenarnya, akhlak wanita
Islam yang sebenarnya, janganlah
merosakkan imej Islam itu dengan
maksiat yang amat dimurkai Allah SWT.
Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat
amat sementara, carilah kenikmatan
akhirat yang kekal abadi.

Dari sudut hukum pula, hal wanita
bertudung yang melakukan maksiat,
dosanya sudah tentu lebih hebat dari
wanita yang tidak bertudung yang
melakukan maksiat. Hal ini boleh
difahami dari ayat seperti :-

Ertinya : Wahai isteri-isteri Nabi,
barangsiapa di antaramu yang melakukan
maksiat dengan jelas, maka di gandakan
azab buatmu dua kali ganda” (Al-Ahzab:
59)

Memang benar ayat ini ditujukan khas
buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan
kemulian dan kedudukan mereka yang
sangat mulia, bagaimanapun ayat ini
sebenarnya menggariskan bahawa setiap
kali bergandanya kemuliaan, maka
bergandalah dosanya (jika melakukan
maksiat), demikian hukuman ke atas
wanita bebas lebih berat dari wanita
hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan
sebabnya adalah kerana bertambahnya
mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW
(Al-Jami’ Li Ahkam AL-Quran ; AL-
Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit
pindaan )

Demikian jualah bagi wanita bertudung
yang telah menaik tarafkan
kedudukannya dengan kemuliaan Islam,
tetapi kemudiannya melakukan maksiat.
Maka jika bersandarkan kaedah di atas,
jelaslah dosa mereka bertambah besar
kerana maksiat itu sendiri dan
merosakkan imej Islam secara jelas.
Bertawbatlah. Demikian juga halnya
maksiat (termasuk pelaburan internet
yang disepakati haram secara sepakat
ulama dunia dan Malaysia) yang
dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh
lebih besar dosanya dari dosa oleh
lelaki biasa di sebabkan imej dan
kedudukan yang dibawanya.

Sekian,

Ust Zaharuddin Abd Rahman

28 April 2007 ( 10 Rabiul Akhir 1428
H)

No comments:

Post a Comment