Saturday, April 30, 2011

Nikmat dengki...?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Nasa’i, Anas bin Malik menceritakan satu peristiwa yang dialaminya dalam sebuah majlis bersama Rasulullah s.a.w.

Suatu hari semasa para sahabat duduk bersama Rasulullah s.a.w., baginda bersabda yang bermaksud: “Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian seorang lelaki penghuni syurga.”

Seketika kemudian muncul seorang lelaki Ansar yang janggutnya basah oleh air wuduknya. Dia mengikat kedua-dua sandal pada tangan sebelah kiri.

Keesokan harinya, Baginda mengulangi perkataan yang sama “Akan datang seorang lelaki penghuni syurga”. Dan muncul juga lelaki yang sama. Begitulah Nabi mengulangi sehingga tiga kali.

Seusai majlis Rasulullah s.a.w. itu, Abdullah bin Amr Bin al-Ash r.a. mengikuti lelaki tersebut dan mencari helah untuk tinggal bersama.

“Saya bertengkar dengan ayah saya, dan saya berjanji kepada ayah saya bahawa selama tiga hari saya tidak akan menemuinya. Bolehkah kamu memberi tempat perlindungan kepada saya selama tiga hari itu?”, pintanya kepada lelaki tersebut.

Abdullah diizinkan oleh orang itu ke rumahnya dan tidurlah dia di sana selama tiga malam. Selama itu Abdullah ingin menyaksikan ibadah apakah yang dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga Baginda mengatakan sedemikian rupa.

Namun, dia hampa, kerana tiada satu apapun yang istimewa pada ibadah lelaki tersebut.

Berkata Abdullah: ” Setelah tiga hari aku melihat amalannya sehingga hampir-hampir aku meremehkan amalannya, lalu aku berkata “Wahai hamba Allah, sebenarnya akyu tidak bertengkar dengan ayahku apatah lagi menjauhinya. Tetapi aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkata tentang dirimu sampai 3 kali, “Akan datang seseorang daripadamu sebagai penghuni syurga”.

“Aku ingin memerhatikan amalanmu supaya aku dapat menirunya. Mudah-mudahan, dengan amalan yang sama aku mencapai kedudukanmu.”

Berkata lelaki itu “Apa yang aku amalkan tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan.

Ketika aku (Abdullah) mahu pulang, dia memanggilku dan berkata “Demi Allah, amalku tidak lebih daripada apa yang engkau saksikan itu. Hanya aku tidak pernah menyimpan pada diriku niat yang buruk terhadap kaum Muslim, dan aku tidak pernah rasa dengki kebaikan yang Allah beri kepada mereka”

Lalu aku berkata “Begitu bersihnya hatimu daripada perasaan buruk terhadap kaum muslim dan bersihnya hatimu daripada perasaan dengki, inilah yang menyebabkan engkau sampai ke tahap terpuji itu. Inilah yang tidak mampu kami lakukan.”

(Hayat al-Shahabah, jilid 2, m/s 520-521)

Nampak macam biasa jak bila kita tiada perasaan dengki, hakikatnya, itulah kemuliaan yang Allah beri kepada mereka yang menjaga akhlak mereka. Memang nyata dengki itu nikmat, yakni nikmat neraka. Akhlak buruk, ibadah rosak.

No comments:

Post a Comment