Thursday, June 16, 2011

Anjing...

Antara fenomena yang ketara bagi Muslim yang tinggal di negara barat ialah ramai penduduk tempatan memelihara anjing. Anjing-anjing di kebanyakan negara barat biasanya terlatih dan amat jinak. Ada undang-undang yang memberikan perlindungan kepada anjing, pembela anjing dan juga orang awam. Dengan sebab itulah ramai yang memelihara anjing, terutamanya bagi yang hidup kesunyian tanpa teman. Apatah lagi budaya orang barat ialah anak-anak jarang tinggal dengan ibu bapa yang telah tua, lalu dipeliharalah anjing sebagai teman hidup. Bahkan ada yang telah mati beberapa hari bersama anjing yang setia dengan tuannya, kemudian baru ditemui oleh orang lain. Ada juga yang mewasiatkan hartanya kepada anjing. Pertubuhan menjaga kebajikan anjing juga tidak kurang banyaknya.

Bagi Muslim yang berasal dari Malaysia, kebanyakan kita agak fobia apabila melihat anjing ini. Ini kerana jarang kita berjumpa dengan anjing yang jinak di tanah air. Kebanyakannya adalah anjing liar. Saya pernah hidup berjiran dengan rakan berbangsa India yang membela anjing. Di depan rumahnya, ditampal papan tanda besar “Awas Anjing” dengan imej anjing yang ganas. Natijahnya, saya jadi takut dengan anjing.

Takut dengan anjing itu terbawa-bawa sampailah ke UK. Semasa awal permukiman saya di sini, punyalah seksa kalau berjumpa dengan anjing. Terutamanya di taman, atau di kaki lima di bandar, atau di car boot sale, asal jumpa anjing mesti ada antara orang Melayu yang lari ketakutan. Padahal anjing di sini semuanya jinak-jinak belaka. Kalau ada yang menerkam, itu tandanya anjing itu sedang teruja atau amat excited dengan kita. Anjing di sini suka mengenali kawan tuannya, dan cara anjing mengenali kita ialah dengan menghidu tangan kita.

Oleh kerana anjing di sini terlatih, jarang kita dengar kes serangan anjing. Kalau ada pun, ianya membabitkan spesis yang bahaya, terlarang, dan dipelihara tanpa kebenaran. Anjing yang menyerang manusia biasakan akan terus dihukum ‘tidur’.

Akan tetapi, tahukah anda yang sebenarnya ada juga orang Islam yang memelihara anjing, termasuklah golongan ulamak. Kawan saya yang mengaji pondok di Pattani menyatakan yang tok guru pondoknya memelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Saya juga pernah menziarahi rumah rakan karib saya di sebuah kampung tradisional Melayu di Tumpat, Kelantan. Rumah di situ dibina tinggi, kerana lokasinya di tebing sungai. Kawan saya memaklumkan yang zaman dahulu, ramai yang memelihara anjing di bawah rumah masing-masing untuk tujuan keselamatan. Kebetulan rakan saya ini adalah berketurunan tok guru dan mufti diraja Kelantan, maka beliau menunjukkan beberapa keping gambar lama pegawai istana termasuklah Mufti dan Sultan. Ada antara gambar tersebut menunjukkan seorang berimej tok guru sedang memegang anjing (dengan tali) bergambar bersama kerabat diraja. Dan jangan terkejut, ada juga orang Melayu yang bersungguh-sungguh membela anjing, khususnya anjing yang terbiar atau dizalimi manusia di Malaysia, seperti di capaian ini dan juga ini. Saya harap anda tidak bersangka jahat dengan pemilik website tersebut.

Saya cuba untuk meringkaskan beberapa persoalan fiqh mengenai anjing seperti berikut:

Hukum Memelihara Anjing

Sebahagian ustaz menggunakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud di bawah untuk mengharamkan Muslim memelihara anjing di dalam rumah seperti di bawah:

لا تدخل الملائكة بيتاً فيه صورة ولا كلب

Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai gambar dan anjing.

Hadith di atas termasuk di dalam hadith dho’if. Imam al-Bukhari dan Syeikh al-Albani adalah antara sebahagian ulama’ hadith yang mendho’ifkan hadith ini.

Akan tetapi, di sana terdapat sepotong hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim yang menyentuh mengenai hukum memelihara anjing di rumah, iaitu:

من اقتنى كلباً إلا كلب ماشية أو كلب صيد نقص من عمله كل يوم قيراط

Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing berjalan (untuk tujuan menjaga ternakan atau keselamatan) dan anjing perburuan, maka berkuranganlah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirat (ukuran yang amat besar).

Berdasarkan metodologi fuqaha’ dalam memahami nas ini, adalah jelas bahawa haram hukumnya bagi Muslim memelihara anjing di dalam rumah melainkan untuk tujuan keselamatan dan juga perburuan. Ini kerana setiap sesuatu yang mengurangkan dosa itu adalah antara petunjuk kepada hukum haram.

Dan ada juga hadith sahih riwayat Muslim yang boleh menjadi penguat kepada hadith Abu Daud di atas, iaitu:

وعن عائشة رضي الله عنها أنها قالت : ( واعد رسول الله صلى الله عليه وسلم جبريل عليه السلام في ساعة يأتيه فيها فجاءت تلك الساعة ولم يأته وفي يده عصا فألقاها من يده وقال : ما يخلف الله وعده ولا رسله . ثم التفت فإذا جرو كلب تحت سريره ، فقال : يا عائشة متى دخل هذا الكلب ههنا ؟ فقالت : والله ما دريت فأمر به فأخرج فجاء جبريل ، فقال رسول اله صلى الله عليه وسلم : واعدتني فجلست لك فلم تأت . فقال : منعني الكلب الذي كان في بيتك إنا لا ندخل بيتاً فيه كلب ولا صورة ) رواه مسلم

Daripada Aisyah r.a beliau berkata: “Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang. Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: “Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji”. Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak anjing di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: “Bila masuknya anjing ini?” Siti Aisyah menjawab: “Saya tidak tahu”. Lalu disuruh usir keluar anjing itu. Setelah anjing itu keluar datanglah Jibril  dan Nabi terus bertanya: “Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang”. Jawab Jibril: “anjing yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar (patung)”.

Bagaimana pula dengan sebagai pemelihara anjing Muslim yang berhujah antaranya pemuda Ashabul Kahfi memelihara anjing? Di sana ada dua jawapan:

1. Memang benar, antara sumber hukum di dalam Islam ialah syariat umat sebelum Muhammad (syar’ man qablana). Akan tetapi, syariat umat terdahulu adalah tertakluk kepada syariat baru setiap kali diutuskan nabi baru dan wahyu baru. Hadith sahih di atas secara jelas mengharamkan Muslim memelihara anjing di dalam rumah.

2. Pemuda Ashabul Kahfi tersebut memelihara anjing untuk tujuan keselamatan. Selain itu, tiada petunjuk yang menyatakan kisah itu memberi sesuatu nilai dari aspek fiqh mengenai kenajisan anjing.

Mengulas isu ini, Syeikh Ahmad Kutty, pensyarah kanan Pengajian Islam di Islamic Institute of Toronto, Canada berkata bahawa adalah haram untuk memelihara anjing di rumah, melainkan untuk tujuan berikut:

1. Perburuan. Ini dijelaskan di dalam surah al-Ma’idah ayat 4 dan juga dalam beberapa potong hadith yang lain, dan perkara ini juga termasuk di dalam amr ta’abbudiy (sila rujuk penjelasannya di bawah).
2. Untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya memerlukan.
3. Untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti polis dan kastam.
4. Untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah.
5. Untuk membantu penternakan haiwan.

Adakah Anjing Itu Najis?

Untuk menjawab persoalan ini, satu-satunya hujjah yang paling kuat digunakan sebagai rujukan ialah sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

طُهُور إناء أحدكم إذا ولَغ فيه الكلب أن يغسله سبْع مرات إحداهن بالتراب، أو أُولاهن بالتراب، أو عفِّرُوه الثامنة بالتراب

(Cara) menyucikan bekas kamu sekiranya dijilat anjing ialah dengan membasuhkan sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah, atau dimulakan dengan tanah, atau basuhan kelapan dengan tanah.

Hadith ini sebenarnya memberikan maksud yang anjing itu adalah najis. Ini kerana perkatan tuhur di awal hadith berkenaan iaitu yang bermaksud ‘cara menyucikan’ menunjukkan sifatnya yang bernajis, kerana penyucian itu hanyalah diperlukan untuk zat yang bernajis sahaja. Najisnya dianggap sebagai berat (mughalazah) kerana cara penyuciannya yang membabitkan proses samak.

Pun demikian, masih wujud khilaf ulamak dalam kenajisan anjing. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah meringkaskan khilaf itu seperti berikut:

1. Anjing itu tidak najis keseluruhannya sama ada bulu kulit atau cecair badannya (kecuali najisnya yang dianggap mutawassitah). Ini adalah pendapat mazhab Maliki. Akan tetapi sekiranya anjing itu menjilat sesuatu, maka ianya perlu disamak. Syeikh Yusuf al-Qaradawi cenderung kepada pendapat ini.
2. Anjing itu najis termasuklah bulu dan cecair badannya (seperti peluh dan air liur). Ini adalah pendapat mazhab Shafie, dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal.
3. Anjing itu najis pada cecair badannya sahaja, bukan pada bulu kulit badannya ketika kering. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan pendapat kedua di dalam mazhab Hanbali.

Imam Ibn Taimiyyah lebih cenderung kepada pendapat yang ketiga. Pendapat ini selari dengan keharusan membela anjing di dalam rumah untuk tujuan di atas. Sekiranya ia najis keseluruhan, bagaimana mungkin ianya dibenarkan untuk dipelihara dalam keadaan tertentu? Justeru, najis anjing menurut Ibn Taimiyyah ialah pada cecair badannya sahaja.

Dengan penuh penghormatan, saya secara peribadi tidak dapat menerima pendapat Imam Malik kerana zahir nas hadith di atas, dan juga kerana metodologi ulamak fiqh dan ulamak usul di dalam memahaminya. Imam Malik dilihat menggunakan metodologi yang agak mudah, memahami dan mengeluarkan hukum secara zahir daripada hadith di atas.

Bagi orang awam, memahami hadith tidak boleh dilakukan tanpa kepakaran ilmu alat seperti ilmu bahasa arab, ilmu hadith dan seumpamanya, justeru urusan seumpama ini perlu diserahkan kepada mujtahid. Perbezaan pandangan ulamak mazhab adalah disebabkan perbezaan metodologi yang mereka gunakan di dalam mengeluarkan hukum daripada nas. Justeru sekiranya anda tiada ilmu alat, janganlah sampai tahap mencerca ulamak mazhab lain seperti yang saya dapati wujud dalam beberapa komuniti yang bersungguh-sungguh ingin membela anjing. Ada antaranya yang menyatakan pendapat ‘Ustaz Shafie’ adalah pendapat yang tidak selari dengan nas, sedangkan mereka tiada ilmu alat yang setanding dengan al-Imam al-Shafie r.a.

Saya hanya menyatakan khilaf hukum ini secara ringkas sahaja. Perbahasan setiap mazhab dalam menentukan kenajisan anjing sebenarnya adalah agak panjang.

Seperkara lagi, saya juga cenderung untuk menyatakan yang kenajisan anjing, dan juga cara mencucinya adalah amr ta’abbudiy atau perkara ibadah yang perlu kita tunduk kepada arahannya tanpa berfikir alasan logiknya secara melampau. Saya tidak nafikan ada kajian saintifik untuk menyokong kenajisan anjing seperti kandungan kumannya, tabiat kotornya atau tabiat pemakanannya, akan tetapi kandungan kuman juga mungkin terdapat dalam haiwan peliharaan yang halal dijaga kita di dalam rumah. Dan ada juga anjing terlatih atau yang dibiakkan menjadi bersih secara lahirnya. Justeru, persoalan kenajisan anjing ini tidak wajar terlalu dikaitkan dengan logik akal, akan tetapi anggaplah ianya sebagai amr ta’abbudiy.

Cara Samak

Cara samak telah diterangkan secara terang di dalam hadith di atas, iaitu membuang najis itu terlebih dahulu, diikut dengan mencuci anggota yang terkena anjing (tertakluk kepada mazhab pegangan anda) sebanyak 7 kali dengan air mutlaq, salah satunya dicampur dengan tanah.

Di Malaysia, ada dijual produk sabun ‘Taharah’ yang dikatakan memenuhi tuntutan sebahagian air basuhan yang dicampur dengan tanah tersebut.

Adakah Ada Alternatif Tanah Seperti Sabun Untuk Samak?

Ulamak berselisih pendapat di dalam isu ini, yang saya ringkaskan seperti berikut:

1. Pendapat terkuat di dalam mazhab Shafie menyatakan yang tiada alternatif dibenarkan untuk tanah dalam samak. Ini kerana cara cucian tersebut telah diterangkan secara jelas di dalam nas hadith.
2. Pandangan jumhur di dalam mazhab Hanbali menyatakan yang boleh digunakan sabun sebagai ganti kepada tanah dalam semua keadaan. Syeikh Muhammad Shaltut, bekas Syeikhul Azhar cenderung menerima pendapat ini. Ini dikiaskan dengan keharusan menggunakan sebarang bahan kesat termasuklah tisu ketika istinja’ walaupun nas hadith secara jelas menyatakan batu sahaja. Selain itu, menurut Syeikh Shaltut, tanah itu adalah simbolik kepada bahan penguat kepada air yang mencuci najis tersebut. Itu adalah bahan yang ada semasa zaman nabi. Sabun menurut beliau lebih kuat sifat mencucinya berbanding tanah, justeru diharuskan untuk menggunakannya sebagai ganti tanah.
3. Ada yang menyatakan boleh sekiranya sukar atau ada halangan untuk mendapatkan tanah.

Hukum Membunuh Anjing.

Menurut Syeikh ‘Atiyyah Saqar, bekas pengerusi Majlis Fatwa Universiti al-Azhar, berdasarkan beberapa hadith yang sahih merujuk kepada arahan nabi kepada para sahabat membunuh anjing dan membiarkannya pada hadith yang lain, hukum membunuh anjing boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Tidak boleh membunuh anjing yang telah terlatih untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan manusia memeliharanya seperti keselamatan, penternakan, jurupandu dan lain-lain.
2. Adapun anjing yang tiada manfaatnya, sekiranya ianya berbahaya seperti buas mengancam kanak-kanak atau manusia umumnya, atau membawa penyakit dan kekotoran, atau menganggu kejiranan dan lain-lain, maka diharuskan untuk membunuhnya untuk tujuan kawalan.
3. Adapun anjing yang tiada manfaat dan tidak pula membawa mudarat, maka ulamak berselisih pendapat sama ada dibolehkan atau diharamkan membunuhnya.

Kesimpulan

1. Adalah amat penting kita mengetahui sekurang-kurangnya secara ringkas hukum mengenai anjing ini, bagi memudahkan kita merasai nikmat keluasan fiqh di dalam Islam.

2. Ianya juga penting untuk mengubah sikap dan persepsi kita terhadap anjing. Islam menyuruh kita mempunyai hubungan yang baik terhadap semua makhluk termasuklah haiwan. Fobia dan imej anjing pada masyarakat Melayu sebenarnya tiada kaitan dengan agama, tetapi lebih kerana faktor persekitaran budaya kebanyakan masyarakat kita sahaja.

3. Ini juga penting bagi memulihkan imej umat Islam di mata non-Muslim. Tahun lepas, timbul isu yang menyatakan Islam sebagai agama yang anti anjing di UK setelah kerajaan memperluaskan lagi penggunaan anjing untuk tujuan sekuriti, dan cadangan ini mendapat bantahan membuta tuli daripada sebahagian komuniti Muslim. Bantahan ini tiada kaitan dengan Islam, tetapi sebaliknya dipengaruhi oleh faktor budaya hidup mereka sahaja.

4. Walaupun ada perbezaan pandangan ulamak mengenai kadar kenajisan anjing, akan tetapi jumhur berpandangan yang haram bagi Muslim memeliharanya di dalam rumah. Sekiranya ada keperluan untuk memelihara anjing untuk tujuan-tujuan seperti di atas, maka anjing itu perlu diasingkan daripada kediaman bagi membolehkan malaikat rahmat memasuki rumah kita.

Allahu a’lam

No comments:

Post a Comment