JUMAT, 28 JANUARI 2011
Ingin Buat Keputusan? Istikharahlah Dulu
Bila sebut istikharah, terbayang dalam kepala kita yang solat ini dilakukan untuk memilih siapakah bakal pasangan hidup. Saya sendiri dulu beranggapan begini tapi alhamdulillah, sekarang dah 'cerdik' sikit sebab selalu membaca dan bertanya :)
Sebenarnya, solat istikharah dilakukan tidak semestinya untuk mendapat jodoh yang baik semata-mata. Skop solat istikharah ini lebih luas daripada itu, malah Nabi Muhammad S.A.W sendiri menggalakkan umatnya untuk melakukan solat istikharah dalam apa jua urusan kehidupan kerana hampir semua urusan kehidupan kita memerlukan kita membuat keputusan. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang maksudnya:
Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”
Ada satu kisah yang ingin saya kongsikan dan kisah ini merupakan sebuah kisah benar:
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.
(maaf, kisah ini pun ada kaitan dengan jodoh juga :) )
Jadi, jika ada satu-satu perkara yang memerlukan kita membuat keputusan ataupun pilihan, jom kita beristikharah ;)
Niat Solat Istikharah:
Sengaja aku mengerjakan sembahyang istikharah dua rakaat kerana Allah Ta’ala
Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca. Dalam rakaat kedua pula, selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
Selepas memberi salam, baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu):
“Ya Allah, saya memohonkan pilihan menurut pengetahuanMu dan memohonkan penetapan dengan kesuasaanMu juga saya memohonkan kurniaMu yang besar, sebab sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan saya tidak mengetahui apa-apa. Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jikalau di dalam ilmuMu bahawa urusan saya ini……..baik untukku dalam agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, maka takdirkanlah untukku dan mudahkanlah serta berikanlah berkah kepadaku di dalamnya. Sebaliknya jikala di dalam ilmumu bahawa urusan ini buruk untukku, dalam agamaku, kehidupan serta akibat urusanku, maka jauhkanlah hal itu daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya serta takdirkanlah untukku yang baik-baik saja dimana saja adanya, kemudian puaskanlah hatiku dengan takdirMu itu.”
Waktu terbaik untuk melakukan solat istikharah ialah pada 2/3 malam. Walau bagaimanapun, solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja (dengan syarat bukan dalam waktu yang dilarang solat).
Semoga kita semua dapat beramal dengan apa yang kita baca ini...
No comments:
Post a Comment