Friday, December 9, 2011

Surat dari ibumu...


Satu ketika dulu doktor datang menyampaikan khabar berita kehamilanku, diri ini bercampur rasa gembira dan bahagia. Semenjak berita gembira itu, aku membawamu ke mana-mana saja selama sembilan bulan.

Tidur, berdiri, makan dan bernafas dalam kesulitan, tetapi semua itu tidak mengurangi cinta dan kasih sayangku kepadamu bahkan ia tumbuh bersama berjalannya waktu.

Aku mengandungkanmu, wahai anakku! Aku begitu gembira tatkala berasakan melihat terajang kakimu dan balikan badanmu di perutku.

Aku berasa puas setiap aku menimbang diriku kerana semakin hari semakin bertambah berat perutku bererti engkau sihat dalam rahimku.
Penderitaan yang berpanjangan menderaku, sampailah saat itu ketika fajar pada malam berkenaan aku tidak dapat tidur atau memejamkan mataku barang sekejap.

Aku berasakan sakit tidak tertahan dan rasa takut yang tidak dapat dilukiskan. Sakit itu terus berlanjutan sehingga membuat�ku tidak dapat lagi menangis.

Sebanyak itu pula aku melihat kematian menari-nari di pelupuk mataku hingga tibalah waktunya engkau keluar ke dunia. Engkau pun lahir…tangisanku bercampur dengan tangismu.

Semua itu, sirna keletihan dan kesedihan. Hilang semua sakit dan penderitaan malah kasihku padamu semakin bertambah dan bertambah.

Aku peluk dan cium dirimu sebelum meneguk satu titis air yang ada di kerongkonganku. Wahai anakku…sudah berlalu tahun daripada usiamu, aku membawamu dengan hatiku dan memandikanmu dengan kedua-dua tangan kasih sayangku.



Sekadar gambar hiasan



Sari pati hidupku kuberikan kepadamu. Aku tidak tidur demi tidurmu, berletih demi kebahagiaanmu. Harapanku pada setiap hari; agar aku melihat senyumanmu.
Kebahagiaanku setiap saat adalah celotehmu dalam meminta sesuatu agar aku berbuat sesuatu untukmu…itulah kebahagiaanku!

Kemudian, berlalulah waktu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Selama itu pula aku setia menjadi pelayanmu yang tidak pernah lalai, menjadi dayangmu yang tidak pernah berhenti, dan menjadi pekerjamu yang tidak pernah mengenal lelah serta mendoakan selalu kebaikan dan taufik untukmu.

Aku selalu memperhatikan dirimu hari demi hari hingga engkau menjadi dewasa. Badanmu yang tegap, kumis dan jambang tipis yang menghiasi wajahmu menambah ketampananmu.

Tatkala itu aku mulai melirik ke kiri dan ke kanan demi mencari pasangan hidupmu. Semakin dekat hari perkahwinanmu, semakin dekat pula hari kepergianmu.

Saat itu pula hatiku mulai serasa terhiris, air mataku mengalir, entah apa rasanya hati ini. Bahagia bercampur dengan duka, tangis bercampur pula dengan tawa.

Bahagia kerana engkau mendapatkan pasangan dan sedih kerana engkau pelipur hatiku akan berpisah denganku. Waktu berlalu seakan-akan aku menyeretnya dengan berat.

Kiranya setelah perkahwinan itu aku tidak lagi mengenal dirimu, senyummu yang selama ini menjadi pelipur duka dan kesedihan, sekarang sirna bagaikan matahari yang ditutupi kegelapan malam.

Tawamu selama ini ku jadikan buluh perindu, sekarang tenggelam seperti batu yang dijatuhkan ke dalam kolam yang hening, dengan dedaunan yang berguguran.

Aku benar-benar tidak mengenalmu lagi kerana engkau sudah melupakanku dan melupakan hakku. Terasa lama hari-hari yang ku lewati hanya untuk ingin melihat rupamu.

Detik demi detik ku hitung demi mendengarkan suaramu. Akan tetapi penantian ku rasakan sangat panjang. Aku selalu berdiri di pintu hanya untuk melihat dan menanti kedatanganmu.

Setiap kali berderit pintu aku menyangka engkaulah orang yang datang itu. Setiap kali telefon berdering aku rasa engkaulah yang menelefon.

Setiap suara kenderaan yang lewat aku rasa engkaulah yang datang. Akan tetapi, semua itu tidak ada. Penantianku sia-sia dan harapanku hancur berkeping.

Yang tersisa hanyalah kesedihan daripada semua keletihan yang selama ini kurasakan. Sambil menangisi diri dan nasib yang memang ditakdirkan oleh-Nya.

Anakku…ibumu ini tidaklah meminta banyak dan tidaklah menagih kepadamu yang bukan-bukan. Yang ibu pinta, jadikan ibumu sebagai sahabat dalam kehidupanmu.

Jadikanlah ibumu yang malang ini sebagai pembantu di rumahmu, agar dapat juga aku menatap wajahmu, agar Ibu teringat pula hari-hari bahagia masa kecilmu.

Dan Ibu memohon kepadamu: Nak! Janganlah engkau memasang jerat permusuhan denganku, jangan buang wajahmu ketika ibu hendak memandang wajahmu!

Yang ibu tagih kepadamu, jadikanlah rumah ibumu, satu tempat persinggahanmu agar engkau dapat sekali-kali singgah ke sana sekalipun hanya satu detik.

Jangan jadikan ia sebagai tempat sampah yang tidak pernah engkau kunjungi atau sekiranya terpaksa engkau datangi sambil engkau tutup hidungmu dan engkau pun berlalu pergi.

Wahai anakku, setiap kali aku mendengar engkau bahagia dengan hidupmu, setiap itu pula bertambah kebahagiaanku. Bagaimana tidak, engkau buah daripada kedua-dua tanganku, engkaulah hasil keletihanku.

Engkaulah laba daripada semua usahaku! Kiranya dosa apa yang kuperbuat sehingga engkau jadikan diriku musuh bebuyutanmu? Pernahkah aku berbuat khilaf dalam salah satu waktu selama bergaul denganmu atau pernahkah aku berbuat lalai dalam melayanimu?

Wahai anakku! Aku hanya ingin melihat wajahmu dan aku tidak mengingin yang lain. Wahai anakku! Hatiku terhiris, air mataku mengalir sedangkan engkau sihat.

Orang sering mengatakan engkau seorang lelaki baik, dermawan dan berbudi. Anakku…Tidak tersentuhkah hatimu terhadap seorang wanita tua yang lemah, tidak terenyuhkah jiwamu melihat orang tua renta ini, ia binasa dimakan rindu, berselimut�kan kesedihan dan berpakaian kedukaan?

Bukan kerana apa-apa? Akan tetapi hanya kerana engkau berhasil mengalirkan air matanya…Hanya kerana engkau membalas�nya dengan luka di hatinya… hanya kerana engkau pandai menikam dirinya dengan belati derhakamu tepat menghujam jantungnya…hanya kerana engkau berhasil pula memutuskan tali silaturahim?

Wahai anakku, ibumu inilah sebenarnya pintu syurga bagimu. Maka titilah jambatan itu menujunya, lewatilah jalannya dengan senyuman yang manis, pemaaf dan balas budi yang baik.

Semoga aku bertemu denganmu di sana dengan kasih sayang Allah seperti hadis: “Orang tua adalah pintu syurga yang di tengah.

“Sekiranya engkau mahu, maka sia-siakanlah pintu itu atau jagalah!” (Hadis riwayat Ahmad). Akan tetapi, anakku! Mungkin ada satu hadis yang terlupakan olehmu! Satu keutamaan besar kamu lalai iaitu Nabi s.a.w yang mulia bersabda: Daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, amal apa yang paling mulia?

Beliau berkata: “Solat pada waktunya”, aku bertanya: “Kemudian apa, wahai Rasulullah?” Beliau berkata: “Berbakti kepada kedua-dua orang tua”, dan aku bertanya: “Kemudian, wahai Rasulullah!” Beliau menjawab, “Jihad di jalan Allah”, lalu beliau diam. Sekiranya aku bertanya lagi, nescaya beliau akan menjawabnya. (Muttafaqun ‘alaih).

Anakku, yang aku cemaskan terhadapmu, yang aku takutkan bahawa jangan-jangan engkaulah yang dimaksudkan Nabi s.a.w dalam sabda�nya: “Merugilah seseorang, merugilah seseorang, merugilah seseorang”, Rasulullah ditanya: “Siapa dia, wahai Rasulullah?, Baginda menajwab: “Orang yang mendapatkan kedua-dua ayah ibunya ketika tua, dan tidak memasukkannya ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Anakku…Aku tidak akan angkat keluhan ini ke langit dan aku tidak adukan duka ini kepada Allah kerana sekiranya keluhan ini membumbung menembus awan, melewati pintu langit, maka akan menimpamu kebinasaan dan kesengsaraan yang tidak ada ubatnya serta tidak ada tabib yang dapat menyembuhkannya.

Aku tidak akan melakukannya, nak! Bagaimana aku melakukannya sedangkan engkau jantung hatiku… Bagaimana ibumu ini kuat menengadahkan tangannya ke langit sedangkan engkau adalah pelipur laraku.

Bagaimana ibu tegar melihatmu merana terkena doa mustajab, padahal engkau bagiku adalah kebahagiaan hidupku. Bangunlah, nak! Uban sudah mulai merambat di kepalamu.

Akan berlalu masa hingga engkau akan menjadi tua pula, dan engkau akan memetik sesuai dengan apa yang engkau tanam… Aku tidak ingin engkau nantinya menulis surat yang sama kepada anakmu, engkau tulis dengan air matamu sebagaimana aku menulisnya dengan air mata itu kepadamu.

Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah dan pada ibumu, peganglah kakinya! Sesungguh�nya syurga di kakinya.

Sumber : HMetro

Nota Kaki : Teringat kpd arwah emak

No comments:

Post a Comment