Wednesday, March 9, 2011

Cerita ini sering didengar apabila membicarakan tentang keikhlasan..

Ia ditulis oleh Al Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin. Seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai di sebuah kampung. Dengan semangat amar makruf nahi mungkar, lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut.

Di pertengahan jalan dia bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan tidak puas hati lalu berlakulah pergelutan demi pergelutan yang tetap dimenangi oleh lelaki soleh itu.

Akhirnya syaitan mengaku kalah dan menukar strategi. Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan bersedia memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan yang dimaksudkan. Lelaki soleh itu termakan hasutan dan bujukan syaitan lalu pulang kembali ke rumahnya.

Esok pagi, apabila dia bangun dari tidur di dapatinya ada sekeping dinar emas di bawah bantalnya. Benar, syaitan telah menunaikan janjinya. Begitulah keadaannya pada pagi hari kedua. Dinar emas sudah ada di bawah bantalnya seperti hari pertama. Tetapi pada hari ketiga, dinar emas sudah tidak ada lagi. Ternyata, syaitan mula menipu.

Berang dengan perlakuan syaitan, lelaki soleh itu mengambil kapaknya untuk meneruskan niat awalnya untuk menebang pokok sembahan. Di pertengahan jalan, syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki itu menahannya lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dicubanya sekali lagi, dia tetap kalah. Malah dicubanya berkali-kali, dia tetap kalah.

Ketika lelaki itu bertanya kenapa dia kalah dan kenapakah syaitan sudah jadi semakin gagah? Syaitan menjawab, “engkau kalah kerana kali ini niat mu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas.” Ya, lelaki itu menjadi lemah kerana niatnya tidak ikhlas. Tahulah kita rupa-rupanya keikhlasan itu adalah satu kekuatan dan kehormatan...

“Sesungguhnya seseorang dari kamu dihimpunkan kejadiannya dalam rahim ibunya empat puluh hari sebagai setitis mani, kemudian dia menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama juga kemudian dia bertukar menjadi seketul daging dalam tempoh itu juga, kemudian diutuskan kepadanya malaikat untuk meniupkan ruh padanya dan diperintahkan juga kepada malaikat itu untuk menulis empat perkara iaitulah rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia orang yang celaka ataupun orang yang menderita"... ( HR al-Bukhari no 3036,Muslim no 2643 )

No comments:

Post a Comment