Cinta sebelum perkahwinan tidak mempunyai keistimewaan dan ‘lesen’ seperti cinta selepas perkahwinan. Ruangnya begitu terhad untuk membuktikan kecintaan. Ini kerana Allah sangat melarang zina malah segala perbuatan yang boleh menghampirinya seperti bergaul bebas, berkhalwat, memandang dengan nafsu, bersenda gurau dan sebagainya.
Walhal cinta sebelum perkahwinan sangat terdedah kepada perbuatan menghampiri zina sama ada secara lisan atau perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan. Ketika itulah cinta mula dinodai oleh nafsu. Fitrah hati (cinta dan kasih sayang) sudah bertukar menjadi kehendak biologi (seks) semata-mata.
Apabila seseorang mencintai kekasihnya melebihi cintakan Allah, maka mudah hukum Allah dilanggar. Kerana kekasih, Allah tersisih. Inilah fenomena lumrah dalam masyarakat hari ini terutamanya di kalangan remaja. Maruah diri, nama baik keluarga, kesucian syariat rela dipertaruhkan untuk mendapatkan cinta.
Malangnya cinta yang diburu adalah cinta palsu. Yang mana keindahannya sementara dan menipu. Seseorang dikira sudah bernasib baik jika cinta itu sempat dibawa menjejaki gerbang perkahwinan walaupun kemudiannya tidak indah dan akhirnya berpisah. Namun kajian menunjukkan cinta yang kotor patah di tengah jalan. Tidak sempat bermahtangga cinta telah berkecai.
Dan bagi yang sempat berumah tangga ramai pasangan yang bercerai-berai walaupun mereka telah melalui saat-saat indah di alam percintaan. Tetapi yang paling ramai ialah mereka yang hanya mampu mempertahankan perkahwinan tetapi gagal mengekalkan keindahan cinta di dalamnya. Mereka yang kecewa ini kerap mengungkapkan, perkahwinan adalah pusara percintaan!
Terbukti tidak ada keindahan dengan mengetepikan Tuhan!!!
No comments:
Post a Comment