Monday, March 7, 2011

QALBUN...

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat.

Di bawah ini ditulis sedikit tentang HATI/QALBUN.

Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis membicarakan tentang fungsi hati dalam kehidupan kita sebagai manusia.Ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang hati...

Dalam al-Quran kalimah Qalbun Salim diulang hanya sebanyak 2 kali:

Pertama : Dalam surah as-Syu'araa ayat 89.



"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)

Ayat ini merupakan ketetapan Allah, bahawa syarat yang Allah letakkan kepada kita ialah apabila kita menemui ajal hendaklah membawa hati yang sejahtera. Andainya orang itu sedar bahawa dia mempunyai penyakit hati maka lebih mudah baginya mendapatkan rawatan. Namun jika dia tidak sedar atau sengaja mahu melewatkan untuk mengubati maka semasa dia menemui ajalnya dia membawa hati yang berpenyakit, maka syarat yang Allah tetapkan itu tidaklah dapat dia penuhi. (Na'uzubillahi min zaalik).

Kedua : Dalam ayat 84 surah as-saffaat


Allah berfirman: Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. Tatkala ia (nabi Ibrahim) datang menemui Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera (qalbun salim) (As-Saaffaat [37] : 83 - 84)

Dalam ayat ini dinyatakan bahawa nabi Ibrahim adalah contoh manusia yang paling ideal yang harus diteladani, kerana Nabi Ibrahim datang menemui Tuhannya dengan hati yang sejahtera. Ini bukanlah bermakna Nabi-nabi lain tidak ada hati yang sejahtera sebagaimana nabi Ibrahim as. Semua nabi-nabi mempunyai hati yang sejahtera.

Kalimah Qalbun dalam al-Quran, diulang:

i) Qalbun dalam bentuk mufrad (singular) disebut 6 kali.

ii) Qalbun dalam bentuk musyanna 1 kali.

iii) Dalam bentuk plural/jamak 21 kali.

Pengertian QALBUN

Sesungguhnya bahasa Arab adalah bahasa yang paling tepat untuk menunjukkan hakikat sesauatu nama. Contoh langit, Allah beri nama sama' yang bermaksud tinggi. Qalbun pula maksudnya berbolak balik, berubah-ubah, sekali rasa susah hati, sekali rasa senang, sekejap rasa rajin sekejap malas, sekejap bimbang sekejap tidak, sekejap yakin sekejap tidak dan sebagainya. Kenapa terjadi sedemikian. Jawapannya ialah sifat semula jadi Qalbun itu ialah sentiasa berubah-ubah (iaitu berpotensi untuk tidak konsisten). Allah cipta hati mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat mahmudah dan juga mazmumah.

Qalbun/hati sangat berpotensi untuk tidak konsisten. Sebab itulah susah untuk menjaga hati. Nak jaga telinga atau mata dan lain-lain anggota adalah lebih mudah dibandingkan hati. Al-Quran yang menggambarkan sedemikian. Di bawah ini beberapa contoh ayat-ayat al-Quran yang menyatakan sifat hati:

Ayat di bawah ini menyatakan bahawa hati sangat berfungsi untuk memperoleh peringatan dan ia sangat positif.



Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya lagi pula ia menjadi saksi. (Qaaf [50] : 37)

Dalam ayat-ayat di bawah pula, menunjukkan bahawa hati boleh diisi dengan perasaan belas kasihan dan gerun. Ini juga bermakna bahawa hati berpotensi untuk berubah-ubah.



Kemudian Kami iringi sesudah - mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik - derhaka. (Al-Hadiid 57:27)

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim. (A-li'Imraan 3:151)

Hati boleh menerima peringatan, hati yang tertarik kepada rasa  kasih sayang dan belas kasihan serta rasa gerun, cemas malah dalam ayat di bawah Allah SWT menyatakan bahawa:




Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras.(Al-Hujuraat 49:7)
 
Allah SWT menjadikan seseorang cinta kepada keimanan dengan menampakkan keindahan sehinggakan menjadi begitu indah sementara itu, ada pula hati yang terlalu kotor dan gelap kerana dipenuhi dengan kekufuran. 

Ini bermakna Hati ibarat satu wadah kosong, boleh diisi dan boleh dikeluarkan isinya (Dimasukkan ke dalamnya dan dikeluarkan dari dalamnya)

Hati/qalbun dapat menampung segala perkara yang disedari oleh orang yang memilikinya. Apa sahaja yang ada dalam hati seseorang itu adalah dengan kesedaran (berkait rapat dengan amalan yang disedari oleh orang itu). Setiap apa yang terlintas dalam hati sudah tentu dengan penuh kesedaran. Daripada sinilah kita faham bahawa Allah hanya menyiksa seseorang apabila ia melakukan sesuatu kesalahan dengan penuh kesedaran.

"Allah hanya menyiksa kamu dengan sebab apa yang diusahakan oleh hati-hati kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam diri kamu".

Justeru Nabi saw sering memperbanyakkan doa ini,

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك 

Maksudnya : Ya Allah Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati kami pada agamamu ? 

Sebuah hadis Ahmad daripada At-Tabrani bersumberkan daripada Abu Sa'id al-Khudri; Nabi membahagikan hati kepada 4:

1) HATI yang bersih yang di dalamnya ada cahaya yang sentiasa bersinar-sinar. Itulah hati orang Mukmin.
2) HATI yang hitam dan terbalik kedudukannya (ATAS KE BAWAH dan SEBALIKNYA). Itu adalah hati orang-orang kafir.
3) HATI yang tertutup dan terikat dengan penutup. Itu hati orang munafik.
4) HATI yang musfah (melintang) tidak berdiri tegak dan tidak terjungkir. Di situ ada keimanan dan di situ ada kemunafikan. Mana yang lebih banyak di situlah dia tergolong.

Kita hanya mahu HATI yang pertama iaitu hati yang bersih kerana itulah syarat yang Allah tetapkan bagi kita untuk menemuiNya.

Dalam keratan ayat 24 surah al-Anfaal, Allah berfirman:

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ يَحُولُ بَيۡنَ ٱلۡمَرۡءِ وَقَلۡبِهِۦ

"...ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat (Allah menjadi pendinding) di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya .."

Dalam ayat 24 surah al-Anfal di atas, Allah memperingatkan kita bahawa Allah yang membatasi kita dengan hati kita yang menyebabkan kita tidak tahu atau tidak sedar apa yang dilakukan. Jelasnya Allah berkuasa mematikan hati seseorang sehingga terlepas peluang yang baik. Allah juga berkuasa menjadikan hati kita hidup.

Ini bermaksud hati kita  berada dalam diri kita, namun antara hati kita dengan diri kita Allah yang menjadi pendinding. Allahlah yang menguasai hati kita. Dialah yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Jadi langkah yang pertama untuk mendapat qalbun salim ialah kita kina bina hubungan baik dengan Allah SWT. dan sentiasa memohon perlindungan denganNya.

Usaha membersihkan hati/untuk mendapatkan QALBUN SALIM: 

Ada 3 proses yang perlu dibuat iaitu takhalli (melawan dan membuang terus semua kehendak2 nafsu yang keji) kemudian diikuti dengan tahalli yakni mengisikan dan menghiasinya dengan sifat2 terpuji seterusnya tajalli yakni mengekalkan sifat2 terpuji tersebut.. kena berilmu dan sebaik2nya faham sifat2 Allah... dan berusaha meneladaninya sebagaimana Rasulullah saw meneladani semua sifat2 Allah. 

Sekian Allahua'lam. Mudah2an memberi manfaat.

No comments:

Post a Comment