Friday, March 4, 2011

Saya tidak TAHU...???

“Saya tidak tahu.” Itu sahaja yang saya mampu jawab ketika seseorang bertanya hukum yang saya sendiri belum jelas selain berjanji akan mencari jawapannya.Akibatnya saya ditempelak dan disindir pedas, “Mana boleh begitu. Takkan jawab tidak tahu sahaja?”Memang panas telinga, tetapi saya tetap yakin itu jawapan yang sebaiknya. Menjawab soalan dengan berkata aku tidak tahu kelihatan mudah, namun mungkin sukar untuk sesetengah orang. Ia bukanlah melambangkan seseorang mengambil mudah atau sengaja menyembunyikan ilmunya tetapi ia berlandaskan kejujuran dan ketelusan. Bahkan ia memerlukan kekuatan dan keikhlasan apatah lagi jika ia sangat dikenali sebagai orang yang berilmu dalam masyarakat.Seorang yang tidak berfikir panjang ketika menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya dan menjawab kesemuanya bukanlah melambangkan kebijaksanaan. Akan tetapi ia memperlihatkan kebodohan dan kejahilannya. Bodohnya kerana mereka tidak mengaku jahil dan berpura-pura pula tahu. Bodohnya juga kerana mereka tidak menyedari hakikat suatu persoalan.Soalan lebih luas mediumnya berbanding dengan jawapan dan sesiapa boleh melontarkannya. Apa yang kita rasa, lihat, atau dengar, semuanya boleh melahirkan berjuta persoalan dan pertanyaan. Namun orang yang bertanya belum tentu mempunyai jawapan. Dia hanya mampu bertanya dan belum tentu menemukan jawapannya. Maknanya setiap persoalan adalah berkaitan dengan sesuatu yang tidak diketahui atau tidak jelas. Manakala jawapan hanya berkaitan dengan sesuatu yang diketahui.Pengetahuan manusia sangatlah terbatas dan terhad berbanding ruang ilmu yang luas. Kita akui bahawa apa yang tidak diketahui lebih banyak daripada apa yang kita ketahui. Kerana itu kita dituntut untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin sehingga hayat masih ada. Apatah lagi jalur keluasan pencarian ilmu sekarang makin luas sehingga diistilahkan maklumat hanya di hujung jari.Meskipun begitu perlu diingat, tidaklah kesemua maklumat itu bernama ilmu. Langkah terbaik, penyebaran maklumat ini perlu disaring dan dikaji sebaik mungkin. Barulah jelas sejauh mana kebenarannya dan di tahap mana kesahihannya. Bahkan walau sehebat mana teknologi, walau sebijak mana otak yang dimiliki, hakikatnya ilmu Allah tetap luas dan tidak mampu dicakupi.Fitrah keterbatasan dan kelemahan inilah yang seringkali menjadikan perkiraan seseorang meleset dan hasilnya di luar jangka. Sehingggakan ada kalanya sesuatu yang meragukan dianggap ilmu, kebatilan dianggap kebenaran dan begitulah sebaliknya. Ini kerana persoalan sangat luas dan tidak dibatasi kelemahan. Ia tidak terbatas dengan ruang lingkup kehidupan yang kecil berbanding dengan jawapan.Justeru cuba kita renung sebuah hadis yang menyatakan:Dari Ibnu Umar, ada seorang yang bertanya kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Tempat apakah yang paling buruk?”.Nabi menjawab, “Aku tidak tahu sehingga aku akan bertanya kepada Jibrail.”Setelah ditanyakan kepada Jibrail, Jibrail mengatakan, “Aku juga tidak tahu. Kutanyakan dulu kepada Mikail.”Pada akhirnya, Jibril datang dan mengatakan, “Tempat yang paling baik adalah masjid, sedangkan tempat yang paling buruk adalah pasar.”(HR Ibnu Hibban no 1599 .Hasan)Inilah prinsip yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w sendiri yang menunjukkan kerendahan hatinya dan amanahnya pada ilmu. Jadi nampak bodoh sangatkah bila mengaku tak tahu?


Sekali lagi rendahkanlah hatimu kerana perubahan perlukan kerendahan...

No comments:

Post a Comment