Bila sesak, pemandu di leboh raya juga terbahagi kepada beberapa golongan (persis pembahagian golongan di padang mahsyar nanti?). Golongan pertama, golongan yang hilang sabar. Mereka ini terus sahaja memasuki lorong kecemasan dan memecut ke hadapan, memintas orang lain dengan melanggar undang-undang. Ramai yang buat begitu. Asalkan matlamat diri tercapai, peduli apa undang-undang atau nilai-nilai murni. Saman? Mungkin itu sahaja yang menggerunkan mereka. Tetapi bagi sesetengah yang berduit, setakat dua tiga ratus RM, tidak menjadi kudis. Bayar dan redah sahaja!
Golongan yang kedua. Tidak seberani golongan yang pertama. Nak redah? Kalau kena saman bagaimana? Nanti dilihat orang bagaimana? Malunya masih ada. Congak untung rugi masih rasional. Kena saman nanti, tak berbaloi. Tetapi dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa geramnya melihat golongan pertama begitu berani dan “kurang ajar”. Hendak ditiru, tidak berani. Jadi… teruskan perjalanan dengan hati yang “terseksa”. Menyumpah sepanjang jalan. Muka berkerut dan geram. Jika terperangkap dua jam, dua jam itulah hilang bahagia dan ketenangan. Bila pemandu hilang bahagia, hati-hati seluruh penumpang yang bersama… Jangan ada yang tersilap, habis semua menerima padahnya. Ikut undang-undang dengan terpaksa, itulah padahnya.
Golongan ketiga, lain pula keadaannya. Mereka tenang dan senang-senag sahaja. Sesak? Ya, itu memang sudah dijangkakan. Jadi golongan ini lebih bersedia. Memintas di lorong kecemasan? Oh, tidak sama sekali. Mereka ini mempunyai prinsip nilai yang tinggi. Siapa pun hendak cepat, tetapi apa maknanya kalau kita hilang nilai sabar, timbang-rasa, tolak ansur dan hormat menghormati. Mereka tahu apa yang mereka “kejar” dalam hidup ini. Terseksa? Tidak, mereka bahagia. Susah, memang susah. Tetapi mereka telah bersedia dengan “bahan” atau “alat-alat” tarbiah dan hiburan sebagai bekalan.
Di mana kita? Golongan pertama yang rakus hidup tanpa nilai? Golongan kedua, pengecut yang hidup marah-marah tanpa ketenangan? Atau golongan ketiga yang hidup dengan ketenangan atas keyakinan…
No comments:
Post a Comment