"Apakah ada kebarangkalian semua yang kita rancang itu tidak berlaku?” saya bertanya.
Para peserta mengangguk.
“Apakah semua yang berada di universiti pasti mendapat segulung ijazah yang dikejar?” saya bertanya lagi.
Para peserta menggelengkan kepala.
“Apakah semua yang telah berjaya mendapat segulung ijazah pasti mendapat pekerjaan?” saya menyambung tanya.
Peserta sekali lagi menggelengkan kepala.
“Apakah semua yang telah bekerja berjaya kahwin?” saya menambah soalan.
“Insya Allah, Insya Allah!” jawab peserta sambil sebahagiannya ketawa manakala sebahagian lagi tersenyum.
“Apakah semua yang berkahwin pasti mendapat anak?” saya menyoal lagi.
Mereka menidakkannya dengan gelengan kepala.
“Apakah semua yang sudah beranak sempat tua?” saya belum selesai menyoal.
Benar sekali.
Semua yang dirancang itu mungkin berlaku mungkin tidak berlaku. Hanya satu sahaja yang pasti terjadi.
Bersedia, ia akan datang. Tidak bersedia pun ia datang. Berfikir mengenainya dia hadir. Tidak pedulikannya pun ia hadir.
Itulah mati.
“Jadi, yang sebenar-benarnya ialah, saya patut memanggil anda semua sebagai WAHAI BAKAL-BAKAL JENAZAH sekalian, betul tak?” saya bertanya.
Peserta tersentak.
Mereka ketawa.
“Kalau saya panggil wahai bakal Datuk, mungkin tak jadi Datuk. Kalau saya panggil wahai bakal Puan Seri, mungkin tak jadi Puan Seri. Apa yang betulnya ialah dengan memanggil anda sebagai ‘wahai bakal-bakal jenazah sekalian’, betul tak?” saya menyoal.
Peserta ketawa tetapi untuk hanya sesaat. Kemudian wajah mereka berubah.
Memberi satu pukulan maut ketika manusia sedang ketawa amat besar kesannya. Bukan mentertawakan sesiapa. Tetapi mentertawakan diri sendiri. Diri sendiri yang terlupa akan hakikat sejelas itu...
No comments:
Post a Comment