Sunday, March 6, 2011

'cikgu'...

Aku mengambil sedikit ruang dan masa, mengkoreksi dan mengingatkan diri. Tugas dan amanah yang dipikul ini tidak ringan. Sebelum mampu mencorakan anak didik, perlu terlebih dahulu mempunyai acuan yang baik. Acuan itu adalah diri sendiri. Perlu terlebih dahulu sejahtera akidahnya. Tidak terkeliru dengan adat dan jahiliah.Baik akhlaknya, mantap ibadahnya hingga mampu di jadikan qudwah hasanah. Jangan sesekali seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, tetapi sendiri berjalan bengkok ataupun seperti pepatah guru kencing berdiri pelajar kencing berlari....

Menjadi seorang guru harus seperti Rasulullah, para sahabat dan salafus salih. Insan-insan mulia ini, sebelum mengajarkan sesuatu ilmu kepada orang lain terlebih dahulu mengajar dan mengingatkan diri. Tidak dinafikan, kekusutan dan kebuntuan kepada penyelesaian krisis moral hari ini bukan sahaja dikalangan remaja bahkan setiap lapisan peringkat usia, juga kerana gagalnya guru menjadi seorang murabbi. Sekadar menjadi guru yang mengajar bagaimana untuk mendapat A atau bagaimana yang gagal mampu lulus. Sekadar itu! Tidak hairan analisis peperiksaan saban tahun menujukkan peningkatan, tetapi berkadar songsang dengan nilai moral dan sakhsiah pelajarnya...

Jalan masih panjang, laluan masih berliku. Aku baru setahun jagung di profesion perguruan ini. Masih terlalu banyak yang perlu aku pelajari dan bakal ku tempuhi. Tiada daya upaya mengharunginya melainkan memohon kekuatan dariNya yang maha berkuasa atas segala sesuatu. Moga redha dan rahmatMu mengiringi laluanku berteman panggilan keramat ini. “Cikgu”....

No comments:

Post a Comment